SDCC Diperkasa Dengan Teknologi Moden, Tingkat Kecekapan Pengurusan Bencana Sarawak
KUCHING: Pusat Kawalan Bencana Negeri Sarawak (SDCC) kini diperkasa dengan kemudahan dan teknologi lebih moden bagi meningkatkan kecekapan pemantauan serta tindak balas terhadap bencana di seluruh negeri, sekali gus memperkukuh usaha menyelamatkan nyawa dan kebajikan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, naik taraf pusat tersebut dilaksanakan hasil peruntukan yang disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebanyak RM750,000.
Menurut beliau, penambahbaikan itu membawa perubahan ketara termasuk pemasangan skrin pemantauan, komputer serta sistem operasi yang lebih moden dan efisien.
“Saya bagi pihak Kerajaan Sarawak dan JPBN merakamkan penghargaan kepada NADMA atas bantuan ini.
“Kita akan berusaha sedaya upaya memainkan peranan untuk menentukan bahawa segala pergurusan benacana di Sarawak dijalankan dengan sebaik-baiknya untuk kepentingan rakyat, tanggungjawab kami adalah memastikan nyawa dapat diselamatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan projek naik taraf SDCC di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata cabaran utama pengurusan bencana di Sarawak adalah meramalkan lokasi dan masa berlakunya banjir memandangkan negeri ini mempunyai banyak kawasan berisiko serta keluasan geografi yang mencabar.
Katanya, ketidakpastian tersebut menyukarkan penempatan awal pegawai, jentera dan aset di lokasi yang tepat, seperti kejadian banjir di Selangau pada 2023 apabila bot yang disediakan tidak berada di kawasan terjejas.
Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Pusat dapat membantu menyediakan ramalan lebih tepat serta amaran awal beberapa hari lebih awal supaya persiapan dapat dilakukan dengan lebih rapi.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan kerajaan negeri turut bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi memanfaatkan sains dan teknologi dalam usaha memperkukuh keupayaan ramalan bencana seperti diamalkan di negara maju.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua serta Ketua Pengarah NADMA Meor Ismail Meor Akim.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang