Hari Kedua Regatta Pesta Simunjan 2025 Meriahkan Sungai Batang Sadong
SIMUNJAN: Suasana di tebing Sungai Batang Sadong hari ini gamat dengan sorakan penonton apabila Regatta sempena Pesta Simunjan 2025 yang masuk hari kedua ini berlangsung meriah sejak awal pagi.
Pelbagai kategori perlumbaan menjadi tumpuan, antaranya Bidar 30 Marathon, Akhir Saringan Bidar 10 (B), Saringan Bidar 20 (B) dan Saringan Bidar 15 (B).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris telah hadir dan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah pada sebelah petang kepada para pemenang setiap kategori.
Turut menyemarakkan majlis ialah Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, yang menyampaikan hadiah bagi Pertandingan Melastik.
Pada petang yang sama, Awla turut diberi penghormatan melepaskan perlumbaan Bidar 30 Pekayuh Lelaki Saringan B, yang disambut dengan sorakan gemuruh daripada para penonton di tebing sungai.
Acara regatta dijangka mencapai kemuncaknya pada petang esok dengan perlumbaan merebut gelaran Raja Sungai, menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM20,000 kepada juara
Secara keseluruhan, jumlah hadiah yang ditawarkan untuk regatta tahun ini mencecah RM75,500.-EDISI UKAS