ADUN Beting Maro Hulur Bantuan Segera Kepada Mangsa Kebakaran di Kampung Semarang
SEMARANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor tampil menghulurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran di Kampung Semarang, Pusa bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga terlibat.
Beliau yang turun padang bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong berkata, sumbangan yang disampaikan diharap dapat membantu memenuhi keperluan asas mangsa selain memberi sedikit kelegaan dalam menghadapi situasi sukar tersebut.
“Sumbangan ini adalah bagi meringankan beban serta membantu keperluan keluarga yang terjejas akibat kebakaran.
“Saya juga berharap keluarga ini terus bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian serta dugaan yang menimpa,” katanya semasa mengadakan lawatan ke lokasi mangsa kebakaran di Kampung Semarang, Pusa, di sini pada Rabu.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan berkenaan agar tampil menghulurkan bantuan bagi membantu keluarga tersebut.
Dato Razaili turut merakamkan penghargaan kepada pihak JKM serta NGO yang tampil memberikan sumbangan dan sokongan dalam usaha membantu mangsa kebakaran berkenaan.-EDISI UKAS