LIMBANG: Perpaduan masyarakat majmuk terus menjadi pemangkin utama kepada pembangunan pesat Sarawak, sekali gus membolehkan pelaksanaan pelbagai inisiatif infrastruktur dan ekonomi dilaksanakan secara berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kepelbagaian etnik di negeri ini bukan penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan rakyat dalam suasana aman dan harmoni.
Menurut beliau, toleransi tinggi dalam kalangan masyarakat membolehkan kerajaan menumpukan usaha kepada pembangunan asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi yang terus dipertingkat dari semasa ke semasa.
“Di Sarawak, jumlah etnik secara rasmi sekitar 28, manakala di Sabah sekitar 35 etnik dan di Semenanjung terdapat empat etnik utama. Walaupun berbeza, masyarakat kita kekal bersatu padu.
“Toleransi ini membolehkan kita memberi tumpuan kepada pembangunan asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Limpaong di Dewan Setia Kampung Limpaong, pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata usaha memperkukuh jaringan perhubungan turut diperkasa menerusi pelaksanaan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang bakal menghubungkan kedua-dua negeri tanpa melalui Brunei.
Menurutnya, projek berkenaan dijangka siap seawal 2028 atau selewat-lewatnya 2030 dan diyakini mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi termasuk melancarkan urusan perdagangan serta pergerakan barangan.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan potensi besar Limbang sebagai kawasan strategik berikutan peningkatan kehadiran pengunjung dari Brunei selepas pembukaan Jambatan Temburong.
Katanya, perkembangan tersebut telah merancakkan sektor perniagaan tempatan khususnya industri makanan dan restoran, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada peniaga serta penduduk setempat.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat agar merebut peluang yang tersedia dengan memperkukuh aktiviti ekonomi serta mengekalkan hubungan baik dengan negara jiran demi manfaat bersama.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan pendidikan dalam kalangan generasi muda, khususnya penguasaan dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta pencapaian akademik.
Tambahnya, pelaksanaan pendidikan percuma di universiti milik kerajaan negeri bermula tahun ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada anak Sarawak melanjutkan pelajaran.
Menyentuh pembangunan luar bandar, beliau berkata usaha menaik taraf kemudahan asas termasuk sistem pengairan terus diberi perhatian bagi memastikan kesejahteraan penduduk kampung sentiasa terpelihara.
Sebagai sokongan kepada pembangunan Kampung Limpaong, beliau mengumumkan peruntukan RM300,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 bagi menaik taraf sistem perparitan di kawasan surau, dewan dan Tabika KEMAS di kampung tersebut.
Selain itu, beliau turut menyalurkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta RM5,000 kepada Jawatankuasa Surau pada tahun ini.
Hadir sama Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, Pegawai Perpaduan Bahagian Limbang, Suriani Yussop, Pengerusi PPWS Limbang/Lawas, Fariyana Ajmain, Pemanca Sahat Bagol, Penghulu Zahedi Asol serta Ketua Kampung Limpaong, Wasli Maseri.-EDISI UKAS