Projek Lebuhraya Pantai Utara Pacu Pembangunan Wilayah Utara Sarawak
KUCHING: Pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar di wilayah utara Sarawak terus diperkasa sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh jaringan perhubungan serantau.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek Lebuhraya Pantai Utara kini giat dilaksanakan dan dibahagikan kepada lima pakej, melibatkan tiga pakej di Limbang serta dua pakej di Lawas.
Menurut beliau, projek tersebut merangkumi pembinaan jalan raya moden termasuk jajaran dual carriageway sepanjang satu kilometer di Limbang serta beberapa jambatan utama bagi meningkatkan kecekapan laluan.
“Lebuhraya ini akan menghubungkan kawasan dari Miri melalui Limbang dan Lawas hingga ke Sabah, termasuk merentasi Brunei Darussalam, sekali gus memperkukuh keterhubungan di utara Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Majlis Rindok Raya Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) di Pullman Hotel pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa projek Sarawak Link Road turut menunjukkan kemajuan memberangsangkan apabila fasa pertama dari Lawas ke Long Lopeng kini mencapai kira-kira 70 peratus siap.
Jelasnya, projek itu akan diteruskan ke fasa seterusnya bagi menghubungkan rangkaian jalan raya yang dibangunkan oleh RECODA dari Kuala Melinau hingga ke Miri sejauh lebih 142 kilometer, seterusnya diintegrasikan dengan Lebuhraya Pantai Utara.
“Gabungan projek ini bukan sahaja menyediakan sistem perhubungan yang lebih selesa, malah akan diperluaskan hingga ke sempadan Indonesia melalui Ba’kelalan, sekali gus membuka akses ke kawasan pedalaman,” ujarnya.
Tambah beliau, pembangunan infrastruktur tersebut dijangka merangsang sektor ekonomi termasuk ekopelancongan, pertanian serta perindustrian, selaras dengan perancangan pembangunan negeri.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah berkata, pembinaan lapangan terbang baharu di Lawas kini sedang giat dilaksanakan dengan kemajuan yang positif, sekali gus bakal meningkatkan keterhubungan udara di wilayah utara.
Beliau turut memaklumkan bahawa Lawas kini telah dihubungkan dengan grid elektrik negeri selain perancangan pembangunan tenaga hidro, peningkatan bekalan air serta sistem telekomunikasi.
"Kerajaan juga merancang pembinaan jeti yang berpotensi dinaik taraf menjadi pelabuhan baharu, mengambil kira kedudukan strategik Lawas serta kedalaman laut yang sesuai," jelasnya lagi.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datuk Ismawi Ismuni, Timbalan-timbalan Menteri serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS