LAWAS: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merapok melakar sejarah tersendiri apabila mencapai kelulusan 100 peratus dalam SPM 2025 dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 4.75, sekali gus mencatat pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun dan mengukuhkan kedudukannya sebagai antara sekolah cemerlang di Sarawak.
Lebih membanggakan, kesemua calon layak menerima sijil SPM, sekali gus merekodkan pencapaian terbaik sekolah dalam tempoh lima tahun.
Dua orang pelajar turut mengharumkan nama sekolah apabila memperoleh keputusan cemerlang semua A.
Kejayaan tersebut meletakkan SMK Merapok di kedudukan ke-13 peringkat negeri Sarawak bagi kategori kelayakan sijil 100 peratus, selain muncul sebagai sekolah terbaik di daerah Lawas dalam kalangan empat sekolah menengah.
Pengetuanya, Julkipli Tangah, berkata pencapaian itu merupakan hasil usaha kolektif seluruh warga sekolah yang sentiasa komited dalam memastikan kecemerlangan akademik.
Beliau merakamkan penghargaan kepada para guru, ibu bapa serta pelajar yang terus berusaha gigih walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh pembelajaran.
Menurutnya, walaupun tiada ganjaran khusus ditawarkan pada tahun ini, pelajar tetap membuktikan kemampuan melalui disiplin dan kesungguhan yang konsisten.
Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah Lawas, Pengiran Kadir Pengiran Budin menegaskan kejayaan tersebut adalah hasil kepimpinan sekolah yang berkesan serta sokongan berterusan daripada guru dan ibu bapa.
Beliau turut menekankan bahawa disiplin pelajar merupakan antara faktor utama dalam menentukan kejayaan, di samping usaha berterusan meningkatkan kualiti pembelajaran.
Turut hadir, Naib Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Josely Pengiran bagi menyaksikan detik pengumuman keputusan tersebut serta menyatakan sokongan terhadap usaha sekolah dalam memperkukuh kecemerlangan akademik.-EDISI UKAS