Loji Janakuasa Batang Ai Bakal Catat Sejarah, Jana 170 MW Tenaga Hidro-Solar
LUBOK ANTU: Loji Janakuasa Batang Ai bakal mencatat sejarah sebagai yang pertama di Malaysia menjana sehingga 170 megawatt (MW) tenaga melalui gabungan sumber hidro dan solar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata pencapaian itu dapat direalisasikan selepas projek ladang solar terapung pertama di Sarawak siap sepenuhnya kelak.
Menurut beliau, ini sekali gus melengkapkan sistem penjanaan tenaga hidro sedia ada di kawasan tersebut.
“Kita akan tambah lagi 120 MW dengan 50 MW sedia ada, bermakna Batang Ai akan mengeluarkan 170 MW elektrik dan ini mungkin yang terbesar di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ulang Tahun Ke-40 Loji Hidroelektrik Batang Ai, di sini, pada Isnin.
Selain itu katanya, Kerajaan Sarawak akan terus meneroka potensi sumber tenaga yang lain untuk mencapai pengeluaran 10 gigawatt tenaga menjelang tahun 2030.
Ini termasuk meneroka potensi tenaga daripada biojisim dan menggunakan kaedah-kaedah baharu seperti empangan melata dan teknologi turbin yang terkini.
“Pada masa hadapan, akan ada teknologi yang canggih yang akan mempercepatkan lagi putaran turbin.
“Saya ada melihat reka bentuk baharu turbin yang boleh berpusing lebih cepat dan ini bermakna kita masih boleh meningkatkan pengeluaran tenaga hidro,” ujar beliau lagi.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Ketua Pegawai Eksekutif SEB Datuk Sharbini Suhaili dan Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh. -EDISI UKAS