Persidangan PBT Sarawak 2026 Perkasa Transformasi Penyampaian Perkhidmatan Berteraskan Integriti
KUCHING: Persidangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak 2026 yang bakal berlangsung pada 6 hingga 7 Julai depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh tadbir urus, memperkasa integriti serta mempercepat transformasi penyampaian perkhidmatan PBT demi memenuhi harapan rakyat yang semakin tinggi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, persidangan ini diwujudkan sebagai platform istimewa untuk menghimpunkan warga PBT, pakar industri, ahli akademik dan pelbagai agensi bagi berkongsi pengalaman, amalan terbaik serta idea baharu ke arah meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menurutnya, persidangan tersebut turut memberi penekanan terhadap usaha memperkukuhkan tadbir urus yang baik, mewujudkan budaya kerja berintegriti, mengukuhkan pengurusan kewangan yang bertanggungjawab, memperkasakan pendigitalan perkhidmatan serta memperluaskan jaringan kerjasama antara PBT di Sarawak dengan PBT dari seluruh negara.
"Yang paling penting, kita mahu memastikan pihak berkuasa tempatan sentiasa relevan, berdaya tahan dan mampu memenuhi jangkaan rakyat yang sentiasa mahukan perkhidmatan terbaik," katanya dalam temubual khas bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Dr Juanda memberitahu, tema "Transformasi Pihak Berkuasa Tempatan: Ke Arah Penyampaian Perkhidmatan Berimpak Tinggi Berasaskan Integriti" dipilih bagi menegaskan bahawa kejayaan transformasi bukan hanya bergantung kepada teknologi dan sistem, tetapi bermula dengan pembentukan budaya kerja yang berteraskan integriti.
Ujarnya, rakyat hari ini bukan sahaja mengharapkan perkhidmatan yang pantas, malah menuntut penyampaian yang telus, adil dan boleh dipercayai.
"Integriti merupakan asas kepada segala usaha transformasi. Walaupun sesebuah organisasi memiliki sistem yang hebat dan prosedur yang lengkap, tanpa integriti rakyat tetap tidak akan yakin terhadap institusi yang memberikan perkhidmatan," tegas beliau.
Menjelas lanjut, katanya, persidangan selama dua hari itu akan membincangkan lapan fokus utama iaitu pengurusan kewangan, integriti dan akauntabiliti, pendigitalan perkhidmatan, bandar pintar, pengurusan aduan, diversifikasi hasil serta peranan audit dalam memperkukuhkan tadbir urus PBT.
"Kita akan menampilkan barisan penceramah daripada pelbagai sektor termasuk Ketua Audit Negara, Akauntan Negeri Sarawak, Ombudsman Sarawak, Sarawak Multimedia Authority, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), National Anti-Financial Crime Centre (NFCC), pakar perancangan bandar serta wakil-wakil pihak berkuasa tempatan yang diiktiraf atas kejayaan melaksanakan transformasi organisasi.
"Turut berkongsi pengalaman ialah wakil daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Taiping, Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, selain penyertaan PBT dari Sarawak termasuk Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan beberapa PBT cemerlang lain,"jelasnya.
Tambah Datuk Dr Juanda, penyertaan pelbagai pihak akan membolehkan peserta memperoleh contoh-contoh amalan terbaik yang praktikal dan boleh disesuaikan mengikut keperluan PBT masing-masing.
Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa persidangan berkenaan terbuka kepada semua warga PBT termasuk ahli majlis, pegawai kerajaan, badan berkanun, ahli akademik, pelajar institusi pengajian tinggi, penyelidik, pemain industri serta individu yang berminat dalam bidang pembangunan bandar dan penyampaian perkhidmatan awam.
Justeru, beliau mengajak semua pihak yang belum mendaftar agar merebut peluang menyertai persidangan ini bagi menimba ilmu, membina rangkaian profesional serta memperoleh inspirasi untuk melaksanakan perubahan yang lebih berkesan di organisasi masing-masing.
"Kerajaan Sarawak berharap akan lahir lebih banyak PBT yang inovatif, berfikiran ke hadapan, berintegriti tinggi, cekap mengurus sumber serta sentiasa responsif terhadap keperluan rakyat.
"Saya percaya setiap peserta bukan sahaja akan membawa pulang ilmu dan jaringan baharu, malah inspirasi untuk melaksanakan transformasi yang mampu melahirkan PBT yang lebih cekap, berintegriti, berdaya tahan dan dipercayai rakyat demi kesejahteraan Bumi Kenyalang," ujarnya lagi.-EDISI UKAS