Dewan Jubli Saksi Kejayaan 277 Graduan UiTM, Lakar Langkah Baharu Ke Dunia Profesional
KOTA SAMARAHAN: Dewan Jubli UiTM Sarawak pada Rabu menjadi saksi detik penuh bermakna apabila seramai 277 graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-104 Sidang 4, sekali gus menandakan berakhirnya perjalanan akademik mereka dan bermulanya langkah baharu ke alam profesional.
Majlis penuh istiadat itu bukan sahaja meraikan kejayaan para graduan menggenggam diploma dan ijazah, malah turut menyaksikan pengorbanan ibu bapa serta keluarga yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan mereka sepanjang menuntut ilmu.
Bagi anak jati Sandakan, Sabah, Nursyarah Fikriyah Musa, 22, yang merupakan graduan Diploma Kejururawatan, kejayaan tersebut menjadi pencapaian yang amat bermakna apabila diraikan bersama ibu tercinta setelah menamatkan pengajian dengan cemerlang di Bumi Kenyalang.
“Saya berasa sangat gembira kerana sepanjang pengajian di sini, suasananya amat menyeronokkan dan kami dididik untuk berdikari memandangkan berjauhan daripada keluarga.
“Lebih meyakinkan, kursus kejururawatan di UiTM ini mempunyai darjah kebolehpasaran yang sangat tinggi, sekali gus memberi keyakinan kepada kami para pelajar bahawa peluang untuk mendapat pekerjaan selepas bergraduasi adalah sangat cerah dan ‘laku’ di pasaran industri,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas majlis berkenaan.
Sementara itu, majlis gilang-gemilang tersebut turut melakar memori bermakna bagi Ivan Miguel Nelsion, 24, yang berjaya merangkul Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perladangan.
Anak jati Lundu itu berkongsi rasa syukur dan menyifatkan kejayaannya menggenggam segulung ijazah sebagai satu hikmah yang sangat besar biarpun bidang pengajian berkenaan bukanlah pilihan utamanya pada peringkat awal.
“Saya bertuah kerana proses untuk melengkapkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda ini hanya mengambil masa selama dua tahun.
“Ini memandangkan saya memiliki latar belakang pendidikan dalam jurusan yang sama semasa di peringkat diploma, sekali gus membolehkan pemindahan kredit atau ‘laluan pintas’ dilakukan,” tambahnya lagi.
Majlis konvokesyen itu turut menjadi detik paling membanggakan buat para ibu bapa yang menyaksikan hasil pengorbanan dan sokongan mereka diterjemahkan melalui kejayaan anak-anak.
Bagi seorang pendidik dari Sri Aman, Yunus Pawi, 53, kejayaan anak perempuannya menamatkan pengajian di peringkat Diploma memberikan kepuasan yang sukar digambarkan, lebih-lebih lagi apabila anaknya itu bakal meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, mengikut jejak langkah kakaknya.
“Sebagai seorang bapa dan juga guru, melihat anak kita berjaya menamatkan pengajian adalah satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” katanya.
Kejayaan yang diraikan pada Sidang 4 Majlis Konvokesyen UiTM Ke-104 ini membuktikan bahawa kecekalan, disiplin serta sokongan keluarga merupakan kunci utama dalam merealisasikan impian pendidikan dan membina masa depan yang lebih cemerlang.-EDISI UKAS