SKS Kapit Jadi Wadah Dekatkan Kerajaan Dengan Rakyat
KUCHING: Kapit bakal menjadi tumpuan apabila Program Sarawakku Sayang (SKS) Siri Keempat berlangsung dari 26 hingga 28 Jun ini sebagai wadah memperkukuh hubungan kerajaan dan rakyat, selain menampilkan peranan strategik bahagian itu sebagai ‘powerhouse’ yang menjana pembangunan Sarawak.
Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, penganjuran SKS di Kapit memberi peluang kepada rakyat mendapatkan maklumat secara terus mengenai pelbagai dasar, bantuan dan inisiatif kerajaan, di samping mengetengahkan potensi besar bahagian tersebut dalam menyokong pembangunan negeri.
“Saya menganggap Kapit ini sebagai ‘the powerhouse of Sarawak’. ‘The powerhouse’ ertinya cuba kita lihat, sekarang dua empangan hidroelektrik iaitu Murum dan Bakun berada di sini.
“Dan dalam dua atau tiga tahun lagi, Empangan Baleh juga akan siap dan terletak di Bahagian Kapit. Inilah yang menjana bekalan elektrik kepada seluruh Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bersama Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit di Studio UKAS pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata masyarakat Kapit turut menzahirkan keterujaan terhadap penganjuran SKS yang membolehkan mereka mendapatkan maklumat secara terus mengenai pelbagai bantuan dan inisiatif kerajaan termasuk pendidikan tinggi percuma, bantuan rakyat serta kemudahan digital yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.
Sementara itu, Elvis berkata sambutan yang diterima daripada usahawan tempatan bagi SKS Kapit amat memberangsangkan apabila kesemua ruang niaga yang disediakan telah dipenuhi dalam tempoh singkat.
“Penglibatan usahawan sangat menggalakkan. Semua tempat yang kita tawarkan, 50 tempat itu habis disapu bersih. Ini untuk menempatkan mereka yang terlibat dalam jualan makanan dan minuman.
“Sebahagian lagi adalah untuk mereka yang menjual hasil kraftangan serta produk tempatan seperti madu kelulut dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau menambah, sambutan menggalakkan tersebut mencerminkan komitmen tinggi komuniti perniagaan tempatan dalam menyokong penganjuran program berkenaan selain membuka peluang kepada mereka untuk mempromosikan produk masing-masing kepada pengunjung.
Majlis perasmian rasmi SKS Siri Keempat dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 27 Jun ini yang turut akan menyampaikan amanat kepada rakyat serta menghadiri beberapa program yang telah diatur sepanjang lawatan beliau ke Kapit.
Selain menampilkan Sarawak Pavilion dan Kapit Kitchen yang menghimpunkan pelbagai usahawan tempatan, SKS Kapit turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk sukan dan permainan rakyat, cabutan e-Peraduan serta persembahan kebudayaan yang melibatkan komuniti setempat.
Penganjuran program tersebut sekali gus menjadikan SKS sebagai platform menyeluruh yang menggabungkan elemen pembangunan, keusahawanan, penyampaian perkhidmatan kerajaan dan penglibatan masyarakat dalam satu acara yang dekat dengan rakyat.-EDISI UKAS