Cadangan Penubuhan AIAC Perkukuh Kedudukan Sarawak Sebagai Hab Timbang Tara Serantau
KUCHING: Cadangan penubuhan cawangan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Sarawak merupakan satu langkah strategik yang bakal memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab utama timbang tara dan penyelesaian pertikaian di rantau ini.
Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali berkata, cadangan tersebut mencerminkan pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap Sarawak sebagai destinasi baharu bagi penyelesaian pertikaian komersial, sekali gus mengukuhkan kerangka institusi yang menyokong proses timbang tara di peringkat domestik dan antarabangsa.
Menurut beliau, peranan Institut Timbang Tara dan Penyelesaian Pertikaian Sarawak (SIADR) juga amat signifikan dalam memperkasa pembangunan timbang tara serta mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif di negeri ini.
“Yang sama penting ialah peranan SIADR yang melengkapkan usaha ini dengan mempromosikan pembangunan timbang tara dan penyelesaian pertikaian alternatif di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutupan Program Kursus Pengenalan kepada Timbang Tara di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata SIADR bukan sahaja mengendalikan proses penyelesaian pertikaian, malah berfungsi sebagai platform untuk mempertingkatkan kecemerlangan profesional menerusi pendidikan, latihan, akreditasi, penyelidikan serta perkongsian ilmu dalam kalangan pengamal undang-undang, profesional industri, komuniti perniagaan dan institusi akademik.
Tambah beliau, institut itu turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran serta keyakinan terhadap timbang tara dan mediasi sebagai kaedah penyelesaian pertikaian yang lebih cekap, menjimatkan kos dan bersesuaian dengan keperluan komersial.
“Gabungan kewujudan cawangan AIAC dan peranan SIADR akan menjadi asas kepada pembangunan ekosistem timbang tara yang kukuh dan mampan di Sarawak.
“Ia mencerminkan komitmen bersama dalam membangunkan kepakaran tempatan, memperkukuh kapasiti institusi serta meletakkan Sarawak sebagai pusat timbang tara yang berkecuali, berwibawa dan diiktiraf di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Menyentuh mengenai kursus selama dua hari yang bermula pada 23 hingga 24 Jun lepas, Dato Sri Saferi berkata program tersebut penting dalam memperkukuh kefahaman warga Pejabat Peguam Besar Negeri Sarawak (SAGC) mengenai timbang tara yang kini menjadi sebahagian daripada amalan perundangan moden, khususnya dalam urusan komersial, pembinaan, pelaburan serta transaksi rentas sempadan.
“Sebagai peguam yang mewakili Kerajaan Sarawak, kita perlu memahami timbang tara dalam konteks kuasa statutori, akauntabiliti awam dan kepentingan awam.
“Prosiding litigasi akan terus menjadi sebahagian penting daripada tugas kita. Namun begitu, timbang tara mempunyai prosedur, terminologi dan pertimbangan strategik yang tersendiri.
“Justeru, kita perlu menguasai asas-asas timbang tara termasuk klausa timbang tara, tempat dan undang-undang yang mentadbir, timbang tara berinstitusi dan ad hoc, pembentukan tribunal, langkah interim serta peranan mahkamah,” katanya.
Turut hadir, Senator merangkap Timbalan Pengerusi SIADR, Senator Robert Lau Hui Yew, Timbalan Peguam Besar Sarawak, Datu John Wayne Chamberlin Sirau, Presiden Beihai Asia International Arbitration Centre, Profesor Steve Ngo, serta barisan Peguam Kanan Negeri dan Peguam Negeri daripada SAGC.-EDISI UKAS