KUCHING: Sejarah perundangan Sarawak dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu terus difahami serta dihargai sebagai asas utama yang memperkukuh kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Profesor Michael Leigh berkongsi pandangan mengenai pembentukan Malaysia dari perspektif British, dengan menyorot isu “Masalah Singapura” serta peranan negeri-negeri Borneo pada tahun 1961.
Beliau turut membincangkan bagaimana Rancangan Malaysia diperkenalkan, termasuk reaksi Sarawak serta pendirian Brunei terhadap rancangan tersebut.
Selain itu, beliau turut meneliti dinamik kuasa politik yang membentuk terma persekutuan pada ketika itu.
Dari sudut sains politik, dinamik kuasa merupakan aspek utama dalam pembentukan Malaysia.
Lee Kuan Yew dan pihak British dilihat bersemangat untuk bergabung dengan Singapura atas kepentingan ekonominya, manakala Britain ingin mengekalkan pangkalannya di rantau ini.
Sementara itu, kepimpinan Malaya yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak memegang kelebihan dan menentukan syarat-syarat persekutuan, khususnya bagi Sabah dan Sarawak.
Kompromi yang dicapai akhirnya termaktub dalam Perkara VIII Perjanjian Malaysia 1963, yang menjadi asas undang-undang penting bagi Sarawak dan Sabah untuk menegaskan hak mereka melebihi negeri-negeri lain di Malaysia.
Profesor Michael Leigh menyampaikan ceramah tersebut sebagai penceramah jemputan dalam The International Talk Series 2025 bertajuk “Why and How Malaysia Was Formed and the Terms of Federation for Sarawak” yang diadakan di sini pada Selasa.
Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak dengan objektif mempertingkatkan kefahaman terhadap sejarah Sarawak.
Menurut Michael, terdapat pelbagai aspek menarik lain untuk dibincangkan mengenai pembentukan Malaysia, termasuk perbezaan pandangan antara Amerika Syarikat dan Britain terhadap Indonesia serta sebab Britain membenarkan Brunei untuk tidak menyertai persekutuan baharu itu.
“Tempoh antara tahun 1961 hingga 1966 merupakan tahun-tahun penting bagi rantau Asia Tenggara ini. Malangnya, ia agak terpinggir dalam penulisan sejarah kerana lebih banyak tumpuan diberikan kepada konflik di Indo-China selepas itu,” jelasnya.
Semua perincian tersebut turut dibincangkan dalam bukunya yang bertajuk “Deals, Datus and Dayaks: Sarawak and Brunei in the Making of Malaysia” dan “Discovering Sarawak’s History at the Archives.”-EDISI UKAS
Foto kredit : Sarawak State Attorney-General’s Chamber (SAGC)