Belanjawan 2026: Peruntukan Tertinggi Kepada Sabah, Sarawak Dukung Semangat MA63
KUALA LUMPUR: Peruntukan pembangunan tertinggi yang diumumkan untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2026 merupakan bukti Kerajaan MADANI mendukung semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata inilah kali pertama dalam sejarah, Sabah menerima peruntukan RM6.9 bilion manakala Sarawak RM6 bilion untuk pembangunan, tidak termasuk projek lain yang digariskan dalam belanjawan itu.
“Selain itu, kerajaan turut mengekalkan peruntukan (pemberian khas) RM600 juta di bawah MA63 untuk tahun depan. Ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan terhadap agenda pembangunan Sabah dan Sarawak.
“Belanjawan ini mencerminkan iltizam kerajaan membina ekonomi mampan, rakyat berdaya tahan dan negara makmur, selain menekankan pengurusan fiskal berhemat dan telus, memastikan hasil negara dimanfaatkan rakyat melalui bantuan disasar, pelaburan strategik dan pertumbuhan hijau yang inklusif,” katanya dalam sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2026 di lobi Parlimen pada Jumaat.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ yang memperuntukkan keseluruhan RM470 bilion dengan tumpuan memacu pertumbuhan ekonomi negara serta memastikan kekayaan negara dapat dinikmati secara saksama oleh semua golongan masyarakat.