Team Komeng Ungguli Acara Marathon Hari Kedua Regatta Sebuyau 2025
SEBUYAU: Team Komeng mengungguli acara Bidar 30 Pekayuh Lelaki Marathon pada hari kedua Regatta Sebuyau 2025 yang berlangsung di Muara Sungai Sebuyau, pada Sabtu.
Pasukan berkenaan berjaya menamatkan saingan dengan cemerlang dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 beserta piala.
Manakala Saga Sebuyau memenangi tempat kedua dengan menerima wang tunai sejumlah RM1,900 beserta piala dan tempat ketiga pula dimenangi pasukan Intan Terpilih dengan membawa pulang RM1,600 beserta piala.
Terdahulu, acara Bidar 30 Pekayuh Lelaki (Saringan A) menyaksikan pasukan Landas dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang RM1,000 beserta piala, manakala tempat kedua dimenangi oleh pasukan Cahaya Sulung yang meraih RM700 beserta piala.
Team Komeng pula menduduki tempat ketiga dengan RM400 beserta piala.
Saingan turut diteruskan dengan acara Bidar 10 Pekayuh Lelaki Saringan B yang menyaksikan Laksamana Nelayan Rempit mengungguli perlumbaan untuk membawa pulang RM400 beserta piala.
Puteri Jasmine 2 meraih tempat kedua dengan RM300, manakala Intan Terpilih di tempat ketiga dengan RM200 beserta piala.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat yang diiringi Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang, di Dewan Pembangunan Sebuyau.
Acara tahunan ini diteruskan esok dengan beberapa lagi kategori perlumbaan menarik termasuk saingan bagi merebut gelaran berprestij Raja Laut Regatta Sebuyau 2025.-EDISI UKAS