Sri Aman Berpotensi Jadi Hab Sukan Baharu Di Sarawak
SRI AMAN: Kawasan Sri Aman dilihat mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai hab sukan baharu di Sarawak menerusi pelbagai fasiliti moden yang mampu melahirkan lebih ramai atlet berkualiti, khususnya dari kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu, berkata usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan sukan di setiap bahagian bukan sahaja bertujuan melahirkan atlet profesional, tetapi turut menggalakkan perpaduan dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, kemudahan sedia ada di Sri Aman seperti stadium, trek olahraga dan kolam renang akan diperkasa dengan pembinaan pusat latihan tinju serta asrama baharu yang dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.
“Kita melihat satu kawasan untuk membangunkan pusat latihan tinju di Sri Aman.
“Dalam pada itu, kita juga ingin membangunkan sebuah asrama baharu supaya Kompleks Sukan Sri Aman ini mempunyai kemudahan lengkap termasuk stadium, balapan dan kolam renang, jadi Sri Aman dapat dijadikan hab sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sarawak 2025 yang berlangsung di Stadium Tertutup Sri Aman, pada Sabtu.
Tegas beliau, usaha memperkasa fasiliti sukan di luar bandar seperti di Sri Aman adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf nasional, termasuk bakat muda dari kawasan pedalaman.
Beliau menambah, inisiatif berkenaan bukan sahaja membuka peluang kepada masyarakat luar bandar untuk menikmati kemudahan sukan moden, malah turut memperkukuh semangat perpaduan antara komuniti setempat.
“Dengan sokongan berterusan daripada Kerajaan Sarawak dan masyarakat, Sri Aman berpotensi menjadi pusat tumpuan utama pembangunan sukan di kawasan tengah negeri pada masa akan datang,” katanya lagi. -EDISI UKAS