SEBUYAU: Regatta Sebuyau 2025 melabuhkan tirainya selepas penganjurannya berlangsung lebih seminggu sejak 11 Oktober lalu.
Kehadiran ribuan pengunjung yang membanjiri kawasan dalam dan luar dewan mencipta suasana penuh sesak dan meriah menjadikan malam penutup kali ini antara yang paling berwarna-warni dalam sejarah penganjuran Regatta Sebuyau.
Majlis turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, detik paling dinanti para pengunjung apabila pelbagai hadiah menarik disediakan oleh pihak penganjur.
Sepanjang tempoh penganjuran, pelbagai acara dan aktiviti telah diadakan menjadikan Regatta Sebuyau 2025 sebagai salah satu pesta rakyat paling dinanti di kawasan ini termasuklah salah satu acara tumpuan iaitu perlumbaan bidar di Tebingan Sungai Sebuyau yang menjadi simbol utama regatta tersebut.
Turut menarik perhatian ialah pertandingan Senam Tari, Tandak Melayu Lamak, memancing, futsal, memanah, serta sukan petanque, selain deretan gerai jualan dan pameran produk tempatan yang memeriahkan suasana hingga lewat malam.
Penganjuran kali ini bukan sahaja memperkukuh semangat perpaduan dan kerjasama masyarakat setempat, malah menjadi wadah penting dalam memelihara tradisi serta memperkenalkan keunikan budaya dan potensi pelancongan Sebuyau kepada pengunjung dari luar daerah.
Hadir memeriahkan majlis penutupan ialah Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, Penolong Pegawai Daerah Sebuyau Louis Andria Barieng, Penolong Pegawai Daerah Asajaya Hasanah Bujang, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sebuyau Tahir Putih, Penghulu Masyarakat Melayu Kawasan Sebuyau Abu Seman Suhaili dan Ahli Majlis Daerah Sebuyau Bujang Tubang. -EDISI UKAS