Festival Kesenian & Warisan Batang Sadong 2025 Pada 24-26 Oktober Ini
SIMUNJAN: Persatuan Kebajikan Anak Jati Simunjan (PERKAJAS) bakal menganjurkan Festival Kesenian dan Warisan Batang Sadong 2025 yang akan berlangsung di Padang Sentral Simunjan mulai 24 hingga 26 Oktober depan sebagai usaha memperkukuh dan memartabatkan khazanah seni serta warisan tempatan.
Festival ini akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris pada 25 Oktober jam 8 malam sekali gus menjadi kemuncak kepada penganjuran yang penuh warna-warni dan berjiwa rakyat.
Menurut Pengerusi PERKAJAS, Abdul Lattif Poli, festival berkenaan bertujuan menghidupkan semula seni dan budaya tradisi masyarakat pelbagai etnik di kawasan Parlimen Batang Sadong, termasuk Melayu, Iban dan Bugis, agar terus diwarisi oleh generasi muda.
“Festival ini bukan sahaja mempamerkan keindahan seni tempatan seperti Jepin Simunjan dan Tuku Tar, tetapi juga mengetengahkan pelbagai bentuk warisan, permainan tradisi, makanan serta hasil kraf tempatan,” katanya ketika ditemui UKAS.
Sebanyak 30 buah booth pameran warisan dan 55 buah booth jualan penjaja akan memeriahkan suasana festival, menampilkan pelbagai produk tempatan, makanan tradisional dan hasil kreativiti masyarakat setempat.
Bagi menambah tarikan, pelbagai aktiviti sampingan turut disusun antaranya Pertandingan Senam Kreatif, Pertandingan Masakan Bubur Tradisional, Pertandingan Fesyen Kanak-Kanak Corak Warisan Sarawak dan Pertandingan Nyanyian Lagu Etnik Malaysia, selain aktiviti kebudayaan lain yang melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai lapisan.
“Penganjuran ini bukan sekadar untuk hiburan semata-mata, tetapi juga sebagai platform memupuk semangat perpaduan, menyemarakkan kecintaan terhadap seni tempatan serta membuka peluang ekonomi kepada masyarakat,” ujar Abdul Lattif.
Beliau dalam pada itu menyeru seluruh warga Batang Sadong dan orang ramai dari kawasan sekitar agar hadir beramai-ramai bagi memeriahkan festival tersebut.
“Marilah kita sama-sama meraikan warisan budaya kita sebagai simbol jati diri masyarakat Batang Sadong,” katanya.
Festival Kesenian dan Warisan Batang Sadong 2025 dijangka menjadi landasan penting dalam mengangkat identiti budaya tempatan ke peringkat lebih tinggi serta menyokong aspirasi menjadikan Batang Sadong sebagai hab seni dan warisan negeri.-EDISI UKAS