Tadbir Urus Cemerlang Pacu Prestasi MDL, Kutip Lebih RM3 Juta
LIMBANG: Amalan tadbir urus cemerlang terus menjadi pemacu utama kepada transformasi pembangunan Majlis Daerah Limbang (MDL) yang kini menunjukkan peningkatan ketara dari segi prestasi kewangan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pencapaian MDL yang berjaya merekodkan pendapatan melebihi RM3 juta tahun lalu membuktikan keupayaan pengurusan yang berkesan serta komitmen tinggi dalam mentadbir sumber secara berhemah.
Menurut beliau, pendekatan pengurusan yang dinamik bukan sahaja membolehkan sumber dioptimumkan, malah mempercepatkan perubahan landskap pembangunan bandar serta peningkatan kualiti kemudahan awam demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Pengerusi Majlis Daerah Limbang yang berlangsung di Dewan Mesyuarat Majlis Daerah Limbang, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kelestarian perkhidmatan pihak berkuasa tempatan amat bergantung kepada kesedaran masyarakat dalam menjelaskan cukai taksiran, yang menjadi sumber utama bagi membiayai pembangunan dan penyelenggaraan kawasan.
Tambahnya, usaha meningkatkan kesedaran awam perlu diperkasa agar masyarakat melihat pembayaran cukai sebagai tanggungjawab bersama serta pelaburan semula untuk kemudahan setempat.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan kestabilan politik dan sokongan berterusan semua pihak sebagai asas penting bagi memastikan perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara konsisten serta berimpak tinggi.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyaksikan angkat sumpah serta penyerahan surat akuan penerimaan jawatan Sufian Mohat sebagai Pengerusi Majlis Daerah Limbang bagi tempoh 1 April 2026 hingga 31 Mac 2027.
Turut hadir, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal dan Setiausaha Majlis Daerah Limbang, Michelle Hildalyne Jering Anthony Luta.-EDISI UKAS