Cuaca Panas: Ibu Bapa Gesa Sekolah Hadkan Aktiviti Luar
KUCHING: Kebimbangan terhadap risiko strok haba dalam kalangan pelajar semakin meningkat susulan cuaca panas berterusan, dengan ibu bapa menggesa pihak sekolah mengehadkan aktiviti luar.
Tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mendapati majoriti ibu bapa menyifatkan keadaan semasa sebagai berisiko tinggi, terutama apabila suhu di Kuching mencecah sekitar 32°C dalam keadaan panas dan lembap.
Seorang ibu, Rokaiyah Musa, 44, berkata cuaca panas memberi kesan langsung kepada kesihatan anak-anak, khususnya pelajar sekolah rendah.
“Dengan keadaan panas, mungkin berlaku kekurangan air dan sukar untuk lakukan aktiviti luar.
“Apa yang paling merisaukan adalah risiko strok haba serta kesan kepada kesihatan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pendekatan lebih fleksibel termasuk pelaksanaan pembelajaran dari rumah (PdPR) secara berkala bagi mengurangkan pendedahan pelajar kepada cuaca panas.
“Jika ibu bapa dibenarkan bekerja dari rumah, mungkin sekolah juga boleh pertimbangkan perkara sama,” ujarnya.
Senada dengan itu, Samizan Saad, 48, menegaskan keperluan tindakan segera pihak sekolah dengan mengehadkan aktiviti luar dan memberi tumpuan kepada aktiviti dalam bangunan.
“Cuaca sekarang memang panas. Kurangkan aktiviti luar dan banyakkan aktiviti dalam kelas,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar lebih berhati-hati ketika membawa anak keluar dengan memastikan bekalan air mencukupi serta mengelakkan kawasan terbuka.
Sementara itu, Thang Chin Yew, 50, berkata pendedahan berterusan kepada cuaca panas boleh menjejaskan kesihatan kanak-kanak dan tidak boleh dipandang ringan.
“Jika terlalu panas, kanak-kanak mudah jatuh sakit. Lebih baik berada di kawasan tertutup yang selamat,” katanya.
Sehubungan itu, ibu bapa berharap pihak berkaitan dapat mengeluarkan garis panduan lebih jelas serta mengambil langkah proaktif termasuk mengehadkan aktiviti luar bagi memastikan keselamatan pelajar terus terjamin.
Orang ramai juga diingatkan agar peka terhadap tanda awal strok haba seperti pening, loya dan keletihan melampau serta mendapatkan rawatan segera sekiranya perlu.-EDISI UKAS