Pembangunan Tenaga Hijau Dipergiat, Sarawak Sasar Pasaran Eksport Tenaga
LIMBANG: Sarawak mempergiat pembangunan tenaga hijau secara progresif sebagai langkah strategik untuk muncul sebagai hab tenaga bersih serantau serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil menjelang 2030.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, negeri ini memiliki kelebihan sumber semula jadi yang membolehkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui seperti hidroelektrik, solar dan hidrogen dipacu secara lebih agresif bagi memenuhi keperluan domestik serta pasaran eksport.
Menurut beliau, pendekatan tersebut bukan sahaja menyokong aspirasi negeri rendah karbon, malah membuka ruang kepada pertumbuhan industri baharu bernilai tinggi termasuk teknologi penyimpanan tenaga dan hidrogen yang mampu menjana peluang ekonomi lebih inklusif.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Ramah Tamah Aidilfitri Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Limbang Tahun 1447H/2026M yang berlangsung di Dewan Bunga Raya, pada Khamis.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pelaburan dalam teknologi serta kerjasama strategik di peringkat antarabangsa akan terus diperkasa bagi memastikan Sarawak berada di barisan hadapan dalam ekonomi tenaga baharu di Malaysia.
Mengulas situasi semasa, beliau berkata kerajaan negeri turut peka terhadap kesan ketidaktentuan ekonomi global khususnya krisis di Asia Barat yang memberi tekanan kepada harga minyak dan kos sara hidup.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan satu lagi pakej bantuan dijangka diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sekiranya keadaan berterusan, sebagai langkah mitigasi membantu rakyat yang terkesan.
Hadir sama Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, Pengerusi Majlis Daerah Limbang Sufian Mohat, wakil Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Abdul Rahman Iqbal Aldi, Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Norliza Jusoh dan Pemanca Sahat Bagol. -EDISI UKAS