MIRI: Komitmen berterusan dalam memperkasa infrastruktur pendidikan diterjemahkan menerusi peruntukan RM700,000 bagi menaik taraf kemudahan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua Krokop di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sejak 2022 hingga 2025.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, pelaburan berfasa itu memberi keutamaan kepada aspek keselamatan, keselesaan serta peningkatan kualiti persekitaran pembelajaran murid dan tempat kerja guru.
Menurut beliau, pendekatan berperingkat membolehkan keperluan kritikal dikenal pasti dan ditangani secara sistematik, sekali gus memastikan impak penambahbaikan yang lebih menyeluruh.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak bagi meninjau projek-projek yang telah siap dilaksanakan di sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Antara inisiatif utama termasuk peruntukan RM100,000 pada tahun 2024 bagi kerja penggantian panel tingkap dan pembaikan jeriji besi melibatkan 70 bilik darjah, susulan keadaan struktur lama yang berkarat dan berpotensi menjejaskan keselamatan.
Pada tahun 2025, tambahan RM250,000 disalurkan bagi menaik taraf pejabat guru dan ruang pembelajaran termasuk penggantian perabot usang serta kerja baik pulih perpustakaan, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan efisien.
Tambah beliau, penambahbaikan tersebut turut melibatkan penyusunan semula ruang dalaman bagi meningkatkan fungsi serta menyokong proses pengajaran dan pembelajaran secara lebih efektif.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan cadangan pembinaan makmal komputer moden yang dilengkapi kemudahan pembelajaran digital akan dipertimbangkan dalam permohonan peruntukan seterusnya.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur pendidikan perlu dilaksanakan secara berterusan dan progresif sebagai pelaburan jangka panjang bagi melahirkan generasi masa depan yang berkualiti.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak sekolah di kawasan Pujut bagi mengenal pasti keperluan serta memastikan usaha penambahbaikan dapat dilaksanakan secara konsisten.-EDISI UKAS