Peruntukan RM30,000 Sokong Program Pembangunan Pelajar Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang
MIRI: Usaha memperkukuh kecemerlangan pelajar di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Miri bakal diperkasa apabila peruntukan RM30,000 diberikan kepada pihak kolej untuk pelaksanaan program motivasi dan persediaan peperiksaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat I (Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak) merangkap ADUN Bekenu, Datuk Rosey Yunus mengumumkan peruntukan tersebut ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Utama kolej tersebut.
Menurut beliau, peruntukan berkenaan merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pelajar mendapat akses sokongan pembelajaran yang lebih menyeluruh.
“Kejayaan pelajar bukan hanya bergantung kepada proses belajar di dalam kelas, tetapi turut memerlukan bimbingan, motivasi dan persediaan mental. Dengan adanya peruntukan ini, saya berharap program pembangunan pelajar dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis tersebut disini pada Jumaat.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian akademik dan sahsiah pelajar kolej tersebut yang disifatkan sebagai hasil kerjasama erat pentadbir sekolah, guru, PIBG, alumni serta ibu bapa.
Selain itu, Datuk Rosey turut berkongsi perkembangan dasar pendidikan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg termasuk pelaksanaan pendidikan percuma di universiti-universiti tempatan Sarawak mulai tahun hadapan serta penawaran biasiswa tambahan dalam bidang baharu seperti tenaga hijau, hidrogen dan aeroangkasa.
Majlis ini bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan pelajar, tetapi turut mengukuhkan peranan sekolah sebagai platform pembentukan jati diri dan kepimpinan generasi muda.-EDISI UKAS