Pesta Kanowit 2025 Cerminan Perpaduan dan Kemajuan Komuniti Setempat
KANOWIT: Pesta Kanowit bukan sekadar acara hiburan, tetapi simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum yang menjadi asas kemajuan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, penganjuran pesta tahunan itu mencerminkan keindahan serta keunikan budaya tempatan dalam suasana penuh kemesraan, sekali gus mengeratkan hubungan antara masyarakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun usia.
“Pelbagai aktiviti menarik diadakan bagi memenuhi minat semua lapisan masyarakat, termasuk Perlumbaan Powerboat, Pertandingan Bot Kawalan Jauh (RC Boat), serta aktiviti sukan dan rekreasi lain yang menyemarakkan suasana pesta,” katanya semasa berucap mewakili Menteri Perpaduan, Dato Sri Aaron Ago Dagang, ketika merasmikan Pesta Kanowit 2025 pada Sabtu.
Beliau berkata, pesta tersebut turut menjadi platform penting kepada golongan belia untuk mengasah kemahiran teknikal dan kreatif yang boleh dimanfaatkan sebagai aset berharga pada masa hadapan.
Selain itu, katanya, aktiviti seperti Unity Aerobic dan Fun Run memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, manakala pertandingan memancing pula memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan dan ketenangan di tebing Sungai Kanowit.
Menurut beliau, penganjuran Pesta Kanowit turut membawa impak positif terhadap ekonomi tempatan apabila para peniaga dan usahawan kecil dapat mempromosikan produk serta perkhidmatan mereka kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Acara ini bukan sahaja menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat, malah memperkukuh jaringan perniagaan kecil dan mikro yang menjadi tunjang kepada pembangunan ekonomi negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anyi berharap agar Pesta Kanowit terus diperkasakan sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi daerah serta menjadi destinasi pelancongan tahunan yang dinanti-nantikan masyarakat.
“Pesta Kanowit jelas membuktikan keberkesanannya sebagai platform perpaduan dan kerjasama komuniti. Nilai-nilai seperti toleransi, hormat-menghormati dan tolong-menolong perlu terus diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Turut hadir ialah ADUN Machan Allan Siden Gramong, Pegawai Daerah Kanowit merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Pesta Kanowit 2025 Jacqueline August, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Datuk Mohamad Azfan Mohd Amir, Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan Dr. Stephen William, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak Dirwana Azool dan Bilong Engkas.-EDISI UKAS