Sistem Tempat Letak Kereta Pintar Pay & Go Rasmi Dilancarkan
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kini melangkah ke era digital sepenuhnya dalam pengurusan tempat letak kereta dengan pelaksanaan Sistem Tempat Letak Kereta Pintar (Kuching Smart Parking) oleh Pay and Go Sdn. Bhd.
Sistem ini dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi sempena Program Kuching Car Free Morning (KCFM) 2025 yang berlangsung di Padang Merdeka, Kuching pada Ahad.
Pelantikan Pay and Go Sdn Bhd sebagai Pemegang Konsesi Sistem Tempat Letak Kereta Pintar bagi Bandaraya Kuching diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG), menggantikan konsesi terdahulu di bawah Kuching City Parking System Sdn Bhd (KCPS) yang tamat pada 31 Oktober 2025.
Pelaksanaan dan peralihan sistem baharu ini bermula pada 1 November 2025.
Menurut Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman, ini dilihat sebagai satu usaha penting ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan pengurusan tempat letak kereta di bandar raya ini, selain menyokong aspirasi kerajaan negeri dalam memperluaskan penggunaan teknologi digital dalam penyampaian perkhidmatan awam.
“DBKU yakin sistem ini akan memberi kemudahan kepada pengguna melalui kaedah pembayaran tanpa tunai dan tanpa sentuhan (cashless & contactless), di samping memperkukuh aspek penguatkuasaan serta memastikan pengurusan hasil yang lebih telus dan efisien,” katanya.
Ditemui media selepas majlis perasmian tersebut, beliau berkata, dengan pelaksanaan sistem ini, DBKU terus memperkukuh komitmennya ke arah menjadikan Kuching sebagai model bandar pintar pertama di Sarawak yang mengutamakan kemudahan digital, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Sistem Tempat Letak Kereta Pintar (Kuching Smart Parking) sempena Program Kuching Car Free Morning (KCFM) 2025 yang berlangsung di Padang Merdeka, Kuching hari ini.
Antara ciri utama sistem pintar ini termasuk aplikasi mudah alih Pay and Go berasaskan GPS, peranti mudah alih (handheld device) untuk kegunaan pegawai penguat kuasa, serta notis tempat letak kereta bercod QR bagi memudahkan pengguna.
Selain itu, kamera pengecaman plat kenderaan (License Plate Recognition – LPR) turut dipasang pada e-basikal dan kenderaan penguat kuasa bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan dan keselamatan operasi.
Pelaksanaan Kuching Smart Parking dijangka menjadi pencetus kepada transformasi digital dalam sistem pengurusan tempat letak kereta di bandar raya ini, seiring dengan visi DBKU untuk mewujudkan Bandaraya Pintar, Lestari dan Sejahtera.
Setakat ini, sistem tersebut meliputi sebanyak 7,080 petak parkir di kawasan digazetkan dan 2,500 petak di kawasan tidak digazetkan di bawah pentadbiran DBKU. - EDISI UKAS
Disediakan oleh : Maryam Zanariah Ibrahim
Foto : Maryam Zanariah Ibrahim