Premier Sarawak Dianugerahkan Pingat The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star
KUCHING: Kerajaan Jepun menganugerahkan pingat The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sebagai pengiktirafan atas sumbangan beliau dalam memperkasakan hubungan dalam pelbagai bidang di antara Jepun dan Malaysia.
Kedutaan Jepun dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, Datuk Patinggi Abang Zohari merupakan antara penerima Autumn Imperial Decorations 2025 yang diumumkan oleh Kerajaan Jepun.
Kata Kedutaan Jepun, penganugerahan anugerah tersebut adalah sebagai menghargai usaha luar biasa beliau dalam menggalakkan pertukaran serantau dan persefahaman antara Jepun dan Malaysia.
Menurut kenyataan sama, Premier Sarawak memainkan peranan penting dalam memajukan kerjasama ekonomi dan tenaga antara Jepun dan Sarawak terutamanya di dalam sektor tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen dan amonia.
Jelas Kedutaan Jepun, menerusi kepimpinan Premier Sarawak, negeri itu telah memperkukuh kerjasama dengan syarikat-syarikat terkemuka Jepun, sekali gus menyumbang kepada peralihan tenaga Jepun dan keselamatan tenaga jangka panjang melalui pembekalan gas asli cecair (LNG) yang stabil.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut memainkan peranan utama dalam menggalakkan kerjasama alam sekitar yang melibatkan universiti dan organisasi dari Jepun dengan menumpukan kepada projek pemuliharaan hutan dan pemeliharaan biodiversiti.
Selain kerjasama dalam sektor ekonomi dan alam sekitar, Premier Sarawak juga secara aktif menyokong pertukaran akademik dan belia yang telah mengukuhkan persefahaman antara Jepun dan Sarawak.
Kata kenyataan sama, dedikasi dan kepimpinan beliau telah memberikan impak berkekalan terhadap persahabatan dan kerjasama antara Jepun dan Malaysia.
Difahamkan Premier Sarawak akan menerima anugerah berkenaan pada 11 November ini.-EDISI UKAS