Graduan UNIMAS Diseru Jadi Duta Ilmu & Pembina Masa Depan Sarawak Lestari
KOTA SAMARAHAN: Graduan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diseru agar menjadi duta ilmu yang menggunakan pengetahuan untuk membawa manfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor UNIMAS, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan bahawa ilmu yang diperoleh bukan sekadar simbol kejayaan, tetapi merupakan amanah dan tanggungjawab besar untuk dimanfaatkan dengan penuh kejujuran dan integriti.
"Ilmu yang dimiliki mesti menjadi cahaya yang menerangi bukan sahaja jalan hidup sendiri, tetapi juga kehidupan masyarakat di sekeliling.
"Kejayaan ini datang dengan tanggungjawab untuk berbakti kepada keluarga, masyarakat dan tanah air,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Konvokesyen Ke-29 UNIMAS, Sidang Pertama di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kejayaan sesebuah universiti tidak hanya diukur melalui penyelidikan dan penerbitan, tetapi turut bergantung kepada impak nyata terhadap kesejahteraan komuniti dan pembangunan negeri.
“Melalui aspirasi Community-Driven University for a Sustainable Future, UNIMAS telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasakan komuniti luar bandar, membangunkan ekonomi digital masyarakat serta memelihara warisan budaya Sarawak,” katanya.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut menzahirkan rasa bangga dengan langkah UNIMAS menubuhkan Fakulti Undang-Undang yang dilihat penting dalam melahirkan profesional perundangan yang bukan sahaja memahami undang-undang secara teknikal, tetapi juga berpaksikan nilai kemanusiaan dan keadilan sosial.
Selain itu, beliau turut menyanjung inisiatif penubuhan Kursi Penyelidikan Sejarah Sarawak, yang menurutnya penting dalam memperkukuh jati diri negeri melalui dokumentasi dan pemerkasaan sejarah tempatan agar tidak dilupakan generasi akan datang.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie dan Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Hata Rasit. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Eisner Nala
Gambar/Juruvideo: Hisyam Arif