BMC Labur RM20 Juta Perkasa Rawatan Kanser Bertaraf Dunia di Sarawak
KUCHING: Sektor kesihatan swasta Sarawak melakar sejarah baharu apabila Borneo Medical Centre (BMC) melabur sebanyak RM20 juta bagi memperkenalkan dua sistem rawatan dan diagnostik kanser bertaraf dunia — Halcyon Radiotherapy System dan Gallium-68 Prostate-Specific Membrane Antigen (PSMA) PET/CT Scan.
Kedua-dua kemudahan berteknologi tinggi itu, yang pertama seumpamanya di Borneo, dilancarkan secara rasmi hari ini sekali gus menandakan langkah besar dalam memperluas akses masyarakat Sarawak terhadap rawatan kanser moden dan canggih.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, beliau menyifatkan pelaburan tersebut sebagai satu titik perubahan penting dalam landskap kesihatan negeri.
“Adalah menggembirakan melihat Borneo Medical Centre, sebuah kumpulan perubatan tempatan, melabur RM20 juta dalam teknologi rawatan terkini demi memenuhi keperluan rakyat Sarawak.
"Langkah ini mengurangkan keperluan pesakit untuk mendapatkan rawatan ke Kuala Lumpur atau luar negara,” katanya dalam teks ucapan dibaca oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian pada Isnin.
Premier Sarawak menjelaskan bahawa Halcyon Radiotherapy System merupakan antara sistem radioterapi paling maju di dunia yang mampu memberikan rawatan kanser dengan lebih pantas, tepat dan selesa, serta mengurangkan pendedahan radiasi terhadap tisu sihat.
Sistem Gallium-68 PSMA PET/CT pula membolehkan pengimejan berketepatan tinggi khususnya bagi pengesanan awal kanser prostat, yang membantu meningkatkan kadar pemulihan dan kelangsungan hidup pesakit.
Premier menegaskan bahawa inisiatif BMC ini sejajar dengan visi kerajaan Sarawak untuk menjadikan negeri ini hab kecemerlangan kesihatan serantau.
“Dengan mengintegrasikan teknologi dan inovasi, kita bukan sahaja memperkukuh hasil rawatan perubatan tetapi turut memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pusat rujukan perubatan serantau,” tambahnya.
Katanya, Sarawak kini mempunyai rangkaian kemudahan kesihatan moden serta tenaga profesional berkemahiran tinggi, selain persekitaran semula jadi yang kondusif untuk penyembuhan, menjadikan negeri ini destinasi ideal untuk pelancongan perubatan di rantau Borneo dan negara jiran.
Pelaburan baharu ini juga membuktikan komitmen BMC sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta terulung di Sarawak, menyokong agenda negeri ke arah akses kesihatan berkualiti dan berdikari bagi seluruh rakyat.