318 Vesel Berdaftar Bukti Kepentingan Pengangkutan Sungai Sarawak
KUCHING: Pengangkutan sungai terus memainkan peranan penting sebagai nadi mobiliti dan penggerak ekonomi luar bandar di Sarawak apabila Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) merekodkan sebanyak 318 pendaftaran vesel sehingga 31 Mac 2026.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, jumlah tersebut melibatkan 13 permohonan baharu dan 305 pembaharuan Permit Pengangkutan Sungai (RTP), sekali gus mencerminkan kebergantungan berterusan masyarakat terhadap sektor pengangkutan air khususnya di kawasan pesisir dan pedalaman.
Menurut beliau, pendaftaran itu merangkumi pelbagai jenis pengangkutan air termasuk bot kargo, kapal tunda dan bot penumpang yang kekal menjadi medium utama perhubungan masyarakat serta aktiviti ekonomi setempat.
“Usaha memperkukuh keselamatan navigasi turut dipertingkat menerusi pemasangan 20 papan tanda lalu lintas sungai di lokasi strategik termasuk terminal penumpang di Sarikei, Sibu dan Kapit serta sepanjang Batang Rajang dari Kapit ke Pelagus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Dalam tempoh sama, beliau menjelaskan, LSS turut memperhebat penglibatan komuniti menerusi empat Program Kesedaran Sungai yang melibatkan 470 peserta melalui aktiviti gotong-royong, latihan asas pengendalian bot dan pengagihan jaket keselamatan.
Tambah beliau, sebanyak 10 kajian Marine Traffic and Risk Analysis (MTRA) telah diluluskan dan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pengurusan risiko serta meningkatkan keselamatan operasi di perairan negeri.
Dari aspek penguatkuasaan pula, LSS telah melaksanakan 389 rondaan sungai, 589 pemeriksaan vesel, 57 operasi penguatkuasaan dan 35 pemeriksaan premis, selain mengeluarkan 31 kompaun bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan serta standard keselamatan.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, seramai 141,133 penumpang telah menggunakan kemudahan dan jeti sungai kendalian LSS setakat suku pertama tahun ini, sekali gus membuktikan pengangkutan sungai kekal sebagai medium penting dalam menghubungkan komuniti serta merancakkan aktiviti ekonomi di seluruh Sarawak. -EDISI UKAS