Bintulu Dipertimbang Dalam Fasa Seterusnya Bagi Penggantian Bas Lama
KUCHING: Bintulu merupakan antara bandar yang sedang dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam fasa seterusnya program penggantian bas henti-henti lama di Sarawak menerusi inisiatif ‘Sarawak New Stage Bus Service’ (SNSBS).
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kementeriannya mempunyai perancangan menggantikan bas-bas usang di seluruh negeri dengan keutamaan diberikan kepada pusat bandar utama sebelum diperluaskan secara berperingkat ke bandar-bandar lain termasuk Bintulu.
Menurut beliau, langkah itu susulan kejayaan pelaksanaan perkhidmatan Bas Pintar di Miri serta BAS.MY Kuching di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) Kerajaan Persekutuan.
“Kementerian kini sedang melaksanakan projek SNSBS di Sibu bagi menggantikan bas henti-henti lama, manakala Bintulu antara bandar yang dipertimbangkan dalam fasa seterusnya inisiatif ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa kementerian telah memulakan kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan projek rangkaian rel di Bintulu, khususnya melibatkan koridor ekonomi utama antara Kidurong dan kawasan perindustrian Samalaju.
Menurutnya, projek tersebut bertujuan memperkukuh sistem logistik dan hubungan pengangkutan awam selain mengurangkan kebergantungan terhadap pengangkutan jalan raya. -EDISI UKAS