AirBorneo Diberi Tanggungjawab Kendalikan Subsidi Laluan RAS
KUCHING: Syarikat penerbangan AirBorneo dipertanggungjawabkan mengendalikan perkhidmatan subsidi bagi laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) daripada Kerajaan Persekutuan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, RAS yang dilaksanakan di bawah kerangka ‘Public Service Obligation’ (PSO) memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan hubungan udara bagi komuniti luar bandar dan pedalaman di seluruh Sarawak, khususnya bagi laluan yang tidak berdaya maju secara komersial kepada syarikat penerbangan.
“Di bawah kerangka ini, Kerajaan Persekutuan menyediakan subsidi bagi laluan RAS, manakala AirBorneo dipertanggungjawabkan mengendalikan perkhidmatan tersebut berdasarkan syarat yang dipersetujui serta struktur tambang terkawal yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Sebarang perubahan berkaitan laluan yang diluluskan, kekerapan penerbangan, kebolehpercayaan perkhidmatan, keselamatan dan prestasi operasi tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Beliau menambah, susulan kejayaan pengambilalihan MASwings, AirBorneo secara rasmi memulakan operasi pada 1 Januari 2026 sebagai syarikat penerbangan milik Sarawak sendiri sambil meneruskan tanggungjawab menyediakan RAS.
Katanya, tidak seperti syarikat penerbangan komersial, pengendali RAS tidak berorientasikan keuntungan semata-mata, sebaliknya berasaskan tanggungjawab sosial sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Dalam perkembangan sama, AirBorneo turut merancang memperluaskan operasinya secara berperingkat sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh dengan cadangan penyewaan tiga pesawat Boeing B737-800NG bagi laluan Kuching ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Jakarta dan Singapura menjelang suku ketiga 2026. -EDISI UKAS