JobSarawak Pacu Padanan Pekerjaan, 21,000 Pencari Kerja Berdaftar Sejak 2025
KUCHING: Inisiatif digital kerajaan negeri menerusi platform JobSarawak terus memperkukuh ekosistem pasaran buruh Sarawak apabila merekodkan seramai 21,000 pencari kerja berdaftar dengan lebih 18,000 kekosongan jawatan aktif setakat ini.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, pencapaian tersebut mencerminkan keberkesanan pendekatan teknologi dalam mempercepat padanan pekerjaan serta memperluas akses rakyat kepada peluang pekerjaan berkualiti.
Menurut beliau, platform JobSarawak yang dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak pada 10 Mei lalu sempena sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri berfungsi sebagai hab bakat bersepadu yang menghubungkan tenaga kerja tempatan dengan majikan di seluruh Sarawak.
“Sejak pelancarannya pada Januari 2025, platform ini telah menarik penyertaan ribuan pencari kerja dan menawarkan peluang pekerjaan yang signifikan, sekali gus menyokong pembangunan tenaga kerja negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Beliau menambah, pelaksanaan JobSarawak adalah sebahagian daripada pendekatan menyeluruh di bawah Foreign Worker Transformation Approach (FWTA) yang menumpukan kepada pemodenan sistem tenaga kerja melalui integrasi digital dan tadbir urus yang lebih cekap.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri turut memperkukuh libat urus industri menerusi 16 sesi Industry Update sejak 2023 yang melibatkan pelbagai agensi utama seperti Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kesihatan Sarawak dan PERKESO.
"Usaha tersebut diperkasa lagi melalui pelaksanaan enam program outreach di bahagian utama termasuk Sibu, Miri dan Bintulu, bagi memastikan pemain industri serta pekerja, termasuk di kawasan terpencil, mendapat akses terus kepada perkhidmatan berkaitan," katanya.
Mengulas isu perkhidmatan FWTA, beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan projek itu menggunakan model Kerjasama Awam-Swasta (PPP), di mana kos pembangunan dan operasi dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta tanpa membebankan kewangan kerajaan.
“Fi yang dikenakan adalah berdasarkan prinsip ‘user-pay’, iaitu industri yang mendapat manfaat daripada pengambilan pekerja asing menanggung kos ekosistem dan pemantauan, bukannya rakyat secara umum,” jelasnya.-EDISI UKAS