Majlis Menandatangani Risalah Sidang ke-38 SOSEK MALINDO Kukuhkan Kerjasama Sarawak – Kalimantan Barat
MIRI: Majlis Menandatangani Risalah Sidang Ke-38 bagi Kluster 1, Kluster 2 dan Kluster 3 sempena Persidangan Ke-38 Jawatankuasa Kerja Sosial Ekonomi (SOSEK) MALINDO peringkat Negeri Sarawak dan Provinsi Kalimantan Barat berlangsung dengan jayanya di Imperial Hotel, Miri pada Rabu.
Majlis tersebut melambangkan komitmen berterusan antara Sarawak dan Kalimantan Barat dalam memperkukuh hubungan dua hala merangkumi pelbagai bidang termasuk sosial, ekonomi, keselamatan dan pengurusan sempadan.
Kemuncak majlis menyaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel bersama Ketua Delegasi SOSEK MALINDO Provinsi Kalimantan Barat, Ibu Linda Purnama, menandatangani Risalah Sidang SOSEK MALINDO Ke-38 sebagai simbolik kesepakatan hasil perbincangan dua hari persidangan tersebut.
Menurut Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah, perjanjian persefahaman ini membuktikan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan dua hala, terutama dalam meneroka potensi baharu kerjasama sosial, ekonomi dan keselamatan sempadan.
“Kerjasama melalui platform SOSEK MALINDO bukan sahaja mampu mempertingkat pembangunan sosioekonomi, malah membantu mengurangkan ketirisan hasil negara yang berpunca daripada aktiviti jenayah rentas sempadan,” ujarnya.
Bagi Kluster 1 yang melibatkan kerjasama dalam bidang sosial dan budaya, kertas kerja ditandatangani oleh Julin Alen dan Dr. Randes Alexander Rombo-Nang.
Sementara itu, Kluster 2 yang memfokuskan kepada bidang ekonomi, perdagangan dan perhubungan disempurnakan oleh Robita Lee Robinson dan Bapak Y. Anthonius Rawing.
Bagi Kluster 3 pula yang membincangkan aspek keselamatan, keamanan dan pengurusan sempadan, penandatanganan dilakukan oleh Abdul Halim Abang Naili dan Dr. Randa Mahmudah.
Persidangan kali ini memberi tumpuan terhadap pelbagai isu sempadan dan sosioekonomi termasuk pengurusan pergerakan jenazah antara dua negara, pengoperasian Pos Lintas Batas Temajuk dan Pos Kawalan Sempadan Telok Melano, serta isu pembinaan rumah api oleh pihak Indonesia berhampiran kawasan sempadan.
Kerjasama strategik ini turut menekankan kepentingan memperkukuh aspek keselamatan di sempadan bagi memudahkan aktiviti ekonomi dan mengurangkan ketirisan pendapatan negara akibat aktiviti rentas sempadan yang tidak sah.
Cadangan turut dikemukakan agar Provinsi Kalimantan Utara dan Kalimantan Timur dilibatkan dalam sesi akan datang bagi memperluas jaringan kerjasama di bawah platform SOSEK MALINDO.
Turut hadir Residen Bahagian Miri Galong Luang, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah, Pengarah Majlis Keselamatan Negeri Sarawak Hafizi Putit, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak Abdul Halim Abang Naili serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.-EDISI UKAS