Pengiktirafan Kampung Long Siut Cetus Pembangunan dan Perpaduan Masyarakat Setempat
BARAM: Pengiktirafan rasmi Kampung Long Siut, Sungai Selungo, Baram oleh kerajaan negeri bukan sekadar pengiktirafan dari segi pentadbiran, tetapi turut menjadi simbol kepada semangat muafakat dan perpaduan masyarakat setempat.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala, pengiktirafan itu membawa makna besar kepada penduduk kampung, khususnya masyarakat Kenyah Jamok, kerana ia membuka ruang untuk menikmati pelbagai kemudahan dan pembangunan daripada kerajaan negeri serta agensi berkaitan.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja bermakna dari segi pentadbiran, tetapi juga satu penghargaan terhadap usaha gigih, semangat muafakat dan perpaduan masyarakat setempat.
"Dengan status rasmi ini, Kampung Long Siut layak menerima pelbagai kemudahan serta bantuan pembangunan daripada kerajaan negeri dan agensi berkaitan,” katanya semasa berucap pada Majlis Pengiktirafan Kampung Long Siut dan Perlantikan Ketua Kaum Long Siut pada Selasa.
Dalam majlis tersebut, Datuk Gerawat turut menyempurnakan pelantikan Lawai Ulok sebagai Ketua Kaum pertama Kampung Long Siut, satu peristiwa bersejarah bagi komuniti setempat yang kini diiktiraf secara rasmi dalam struktur pentadbiran negeri.
Beliau menegaskan bahawa pelantikan Ketua Kaum merupakan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab sebagai penghubung utama antara kerajaan dan masyarakat di peringkat akar umbi.
Majlis anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Siut, Sungai Selungo Baram itu turut dihadiri Pegawai Daerah Telang Usan, Ezra Uda, para pemimpin masyarakat serta penduduk setempat dan berlangsung dalam suasana penuh semangat dan kegembiraan.—EDISI UKAS