RM1.96 Bilion Diluluskan, Naik Taraf Bekalan Air Di Kapit
KAPIT: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan berjumlah RM1.96 bilion bagi pelaksanaan projek menaik taraf kemudahan bekalan air di bahagian Kapit, sekali gus memastikan liputan dan akses bekalan air bersih di kawasan berkenaan dipertingkatkan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan dana sebanyak RM300 juta lagi untuk tujuan tersebut.
"Ini adalah untuk kita meningkatkan akses bekalan air untuk seluruh Kapit,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Negeri (SDCCM) di sini pada Khamis.
Dalam mesyuarat tersebut, taklimat prestasi pelaksanaan projek peruntukan negeri di bahagian Kapit telah disampaikan oleh Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah serta Upper Rajang Development Agency (URDA).
Premier Sarawak menambah, kerajaan negeri turut membangunkan beberapa projek jalan raya penting di bahagian itu termasuk peruntukan sebanyak RM122 juta bagi projek jalan di Merirai.
"Kita turut membangunkan beberapa jalan penting di sini yang akan menghubungkan Baleh, empangan dan juga rumah-rumah panjang serta penempatan di pedalaman,” katanya.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menambah, URDA dan RECODA turut menerima suntikan pusingan kedua berjumlah RM1.5 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
"Ini adalah untuk melaksanakan dan meneruskan beberapa projek termasuk yang melibatkan peningkatan pendapatan isi rumah,” jelasnya.
Turut hadir Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, serta Timbalan-timbalan Menteri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Ketua-ketua Jabatan.-EDISI UKAS