Pembangunan Jalan Di Kawasan Tunoh Pacu Pertumbuhan Penempatan
KAPIT: Kawasan Tunoh di sini bakal dibangunkan dengan jaringan jalan raya baharu yang dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan penempatan di kawasan tersebut.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata pelaksanaan projek berkenaan telah lama dirancang dan kini bakal direalisasikan.
"Kita telah meluluskan projek pembangunan jalan di Tunoh sepanjang 7 kilometer.
"Ini akan menjadi ruang untuk kita membangunkan kawasan rumah panjang.
"Sebenarnya ini telah lama dirancang dan hari ini telah diselesaikan dan kita bangunkan kawasan Tunoh," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Merarau Bersama Komuniti Di Dewan Suarah Kapit di sini, pada Khamis.
Terdahulu beliau merasmikan bangunan Upper Rajang Development Agency (URDA) dan simbolik perasmian pecah tanah hotel baharu Kapit.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Sarawak mempunyai perancangan untuk beralih kepada pembangunan sosioekonomi selepas pembangunan infrastruktur.
"Selepas membangunkan infrastruktur, langkah seterusnya adalah sosioekonomi.
"Bagaimana jalan ini boleh membawa impak kepada kehidupan masyarakat kerana Sarawak telah diiktiraf berpendapatan tinggi dan sasaran kita ialah meningkatkan pendapatan isi rumah," tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Premier Sarawak berkata, dunia terus mengiktiraf Sarawak termasuk penganugerahan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star kepada beliau.
"Isnin depan saya akan ke Jepun untuk menerima anugerah tersebut.
"Dalam erti kata lain, dunia mengiktiraf kita dari segi pembangunan, cara kita membangun khususnya dari sudut ekonomi baharu yang berteraskan tenaga dan polisi ekonomi," jelasnya.
Turut hadir Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, serta Timbalan-timbalan Menteri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Ketua-ketua Jabatan.-EDISI UKAS