116 Graduan Diraikan Dalam Majlis Konvokesyen Ke-20 Institut Pertanian Sarawak
KUCHING: Seramai 116 graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-20 Institut Pertanian Sarawak yang berlangsung di UCSI Hotel di sini pada Khamis.
Para graduan terdiri daripada 92 orang graduan Program Sijil Pertanian dan 24 graduan Sijil Kemahiran Malaysia diraikan bagi mengiktiraf kejayaan graduan sesi 2023/2025 yang berusaha menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam sektor pertanian.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom telah hadir menyempurnakan majlis tersebut yang penuh istiadat.
Dalam ucapannya, beliau menyeru agar para graduan meneruskan legasi pertanian sebagai kesinambungan legasi nenek moyang yang hidup dan dibesarkan sebagai petani.
Jelasnya, tanggungjawab anak muda masa kini ialah mengubah nasib generasi terdahulu dan menebus masa lalu agar masa depan pertanian negeri ini terus cerah serta penuh potensi melalui teknologi baharu.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga kini sedaya upaya untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang paling kondusif seperti agropark, melaksanakan pertanian tepat (precision farming) dan menggunakan 'smart farming' serta teknologi Internet Kebendaan (IoT).
"Semuanya bagi memastikan anak-anak muda lebih cenderung dan berminat untuk menceburi bidang pertanian," tegasnya.
Sementara itu dalam sidang media, Dato Sri Dr Stephen Rundi turut menasihatkan agar Institut Pertanian Sarawak menyesuaikan silibus agar lebih relevan dengan keperluan semasa terutama dalam aspek pemasaran dan pemprosesan hiliran.
Ujarnya, langkah itu penting bagi memastikan graduan pertanian bukan sahaja mahir dalam pengeluaran hasil, tetapi juga berupaya meningkatkan nilai produk melalui aktiviti hiliran.
Tambahan pula katanya, perkara itu lebih ketara bagi hasil bermusim seperti rambutan dan durian yang sering tidak memberikan pulangan lumayan kerana pasaran yang terhad.
"Namun, sekiranya kita mempunyai kemudahan pemprosesan hiliran dan dapat mengeksport hasil tersebut ke luar negara, saya yakin kita dapat mengubah nasib serta meningkatkan pulangan kepada para petani terutamanya dalam usaha kita membanteras kemiskinan," jelas beliau.
Hadir sama, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Tan Sri Dato William Mawan Ikom, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dominic Chunggat serta dif kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Shahril Haqim Hamka