Lebih Ramai OKU Diseru Daftar Dengan JKM Untuk Nikmati Kemudahan, Bantuan Kerajaan
SRI AMAN: Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) diseru agar tampil mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan dan peluang yang disediakan oleh kerajaan serta sektor swasta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, pendaftaran dengan JKM amat penting bagi memastikan mereka dapat dikenal pasti dan dibantu termasuk dari segi kemudahan pendidikan, pekerjaan dan kebajikan.
Beliau berkata demikian semasa Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Bahagian Sri Aman Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman, pada Ahad.
Ujarnya lagi, Bahagian Sri Aman juga mempunyai empat buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) iaitu di Sri Aman, Lingga, Stumbin dan Batang Ai yang berperanan penting dalam memberikan latihan serta pemulihan awal kepada kanak-kanak OKU.
Dayang Noorazah turut memaklumkan bahawa setakat Disember 2024, seramai 751,421 individu OKU telah berdaftar di bawah Sistem Pengurusan Maklumat OKU (SMOKU) di seluruh negara.
Bagi Bahagian Sri Aman, katanya, sebanyak 708 individu OKU telah mendaftar dari tahun 2020 hingga Oktober 2025.
Sementara itu, beliau menzahirkan harapan agar Sambutan Hari OKU menjadi platform berterusan dalam membentuk masyarakat MADANI yang prihatin, memahami serta menghormati hak-hak golongan istimewa tersebut agar mereka tidak berasa tersisih dan terus mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Majlis yang dianjurkan oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman ini bertujuan meraikan insan-insan istimewa di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keterangkuman golongan OKU dalam arus pembangunan negara.
Majlis turut diserikan dengan penyertaan pelajar Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman dan SMK Lingga serta wakil dari Bahagian Betong.-EDISI UKAS