ADUN Ngemah Teruskan Tradisi Ngabang Mantar Gawai Dekati Penduduk
KANOWIT: Tradisi Ngabang Mantar Gawai yang dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana diteruskan tahun ini sebagai usaha mendekati dan menyantuni penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah sempena sambutan Hari Gawai 2026.
Menurut beliau, program tersebut menjadi platform penting untuk bertemu secara langsung dengan masyarakat setempat selain mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat.
“Program ini dilaksanakan khusus bagi bertemu dengan penduduk di kawasan Ngemah bersempena dengan sambutan Hari Gawai 2026, di mana program keseluruhan dijadualkan berlangsung dari 28 Mei hingga 1 Jun 2026,” katanya semasa berucap ringkas pada program tersebut pada Sabtu.
Beliau turut menyeru masyarakat Dayak terus menjadikan sambutan Hari Gawai bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan dan saudara mara di samping mengekalkan budaya ‘ngabang’ atau kunjung-mengunjungi.
Dalam pada itu, Anyi turut berkongsi khabar gembira mengenai perkhidmatan feri Sedaya yang kini telah beroperasi menggunakan dua buah feri berbanding hanya sebuah sebelum ini demi kemudahan penduduk setempat.
Menurutnya, sempena sambutan Hari Gawai tahun ini, waktu operasi Feri Sedaya turut dilanjutkan bermula jam 4 pagi hingga 12 tengah malam bagi memudahkan pergerakan penduduk yang pulang ke kampung dan menziarahi saudara-mara.
Selain fokus kepada sambutan perayaan, Anyi turut memaklumkan mengenai lawatan kerja Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ke Ngemah yang dijadualkan pada 26 Jun 2026.
Terdahulu, Anyi bersama isteri, Gelim Utan serta ahli rombongan memulakan lawatan bermula jam 9 pagi di kawasan Sungai Tuah melibatkan Rumah (Rh.) Seliau, Rh. Icha dan Rh. Lily Apang, sebelum bergerak ke kawasan Sungai Pedai di Rh. Anthony Langit.
Rombongan kemudian meneruskan perjalanan ke Ulu Pidai bagi menyantuni penduduk di Rh. Connie, Rh. Tadong, Rh. Jawa serta Rh. Jati Tanggai, dan menamatkan program turun padang yang padat itu di kawasan Nanga Tada melibatkan Rh. Bulan serta Rh. Edmund pada jam 9.00 malam.
Turut menyertai rombongan tersebut ialah Pegawai UKAS Bahagian Sibu Jelani Ajang, Sarjan Bidat dari IPD Kanowit, Penghulu Pree Minggat, Penghulu Lembat Atau, Penghulu Kong Chak Pui serta pegawai dari Pusat Khidmat DUN Ngemah.-EDISI UKAS