Kerjasama Rakyat & Pemimpin Percepat Agenda Pembangunan Kampung
LUNDU: Kerjasama erat antara rakyat dan pemimpin amat penting dalam memastikan agenda pembangunan kampung dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, pelbagai kemudahan dan projek pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar merupakan hasil kerjasama berterusan antara masyarakat, pemimpin serta agensi kerajaan dalam memastikan setiap keperluan rakyat dapat diberi perhatian sewajarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kampung Temaga Melayu, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus membawa isu dan keperluan penduduk kepada pihak berkaitan agar lebih banyak projek pembangunan dan kemudahan awam dapat dilaksanakan pada masa hadapan demi manfaat masyarakat setempat.
Pada majlis tersebut, turut diadakan penyerahan bakul makanan kepada 10 penerima sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan serta usaha membantu meringankan beban mereka.
Turut hadir, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sematan Mohd Ameerullah Roslan. -EDISI UKAS