ADUN Lingga Meriahkan Ibadah Korban Aidiladha Di Masjid Bandar Sri Aman
SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor hadir memeriahkan pelaksanaan ibadah korban Aidiladha yang berlangsung di Masjid Bandar Sri Aman pada Sabtu.
Program yang disertai masyarakat setempat itu menyaksikan penyembelihan dua ekor lembu korban dalam suasana penuh kesyukuran dan semangat kebersamaan.
Turut hadir Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh serta Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman, Azmi Morshidi.
Dalam ucapannya, Azmi Morshidi mengajak masyarakat untuk terus menghayati pengertian sebenar ibadah korban yang menuntut pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada perintah Allah SWT.
Beliau turut menekankan ibadah korban bukan sekadar amalan menyembelih haiwan, malah menjadi medium untuk memperkukuhkan ukhuwah serta semangat berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat.
Daging korban yang telah disempurnakan penyembelihannya akan diagihkan kepada golongan asnaf, fakir miskin dan penduduk setempat bagi memastikan manfaat ibadah korban dapat dinikmati secara menyeluruh oleh masyarakat. -EDISI UKAS