Pesta Matu 2025 Galak Gaya Hidup Sihat dan Eratkan Hubungan Komuniti
MATU: Penganjuran Pesta Matu 2025 menjadi platform untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan belia serta memperkukuh hubungan kekeluargaan dan komuniti setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata, penganjuran pesta seperti ini membawa nilai sosial yang besar dan tidak hanya berfungsi sebagai hiburan kepada masyarakat.
“Penganjuran Pesta Matu ini bukan sekadar untuk berhibur, tetapi membawa objektif yang besar dan bermakna iaitu memberi teladan gaya hidup sihat kepada golongan belia serta menyediakan ruang riadah dan aktiviti kekeluargaan yang dapat mengeratkan hubungan sesama komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penutupan Pesta Matu 2025 yang berlangsung meriah di Dewan Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD), di sini, baru-baru ini.
Beliau menambah bahawa pesta seumpama ini memainkan peranan penting dalam melahirkan masyarakat yang lebih seimbang, aktif dan bersatu padu.
“Apabila belia kita terlibat dalam aktiviti sihat dan masyarakat bersama-sama menjayakannya, ia akan membentuk budaya positif yang membawa manfaat jangka panjang kepada komuniti,” ujarnya lagi.
Sepanjang berlangsungnya pesta, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan melibatkan penyertaan aktif masyarakat termasuk pameran agensi kerajaan, pertandingan dart, kempen derma darah, pertandingan mewarna, mini regatta, pertandingan memasak, acara Matu Idol dan pertandingan petanque.
Antara acara yang menjadi tumpuan ialah Pertandingan Nyanyian Matu Idol dengan penyertaan 20 peserta dari Matu, Mukah dan Sibu, membuktikan sambutan pesta ini melangkaui sempadan daerah.
Datuk Dr Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng turut menyatakan bahawa Pesta Matu menjadi platform penting untuk memperkenalkan perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan serta menonjolkan keunikan budaya dan bakat masyarakat tempatan
Hadir sama, Pegawai Daerah Matu Hamidah Halpi dan Pemanca Mesaleh @ Che Jeni Shahdan. -EDISI UKAS