Program Back To School Cetus Semangat Belajar Anak Pedalaman
BARIO: Inisiatif Back to School anjuran PETRONAS dan Sarawak Energy Berhad (SEB) disifatkan sebagai satu usaha penting yang mampu mencetus semangat belajar dalam kalangan murid di kawasan pedalaman.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala,
walaupun murid di kawasan pedalaman berdepan kekangan geografi dan logistik, mereka tetap menunjukkan semangat tinggi untuk menuntut ilmu.
“Inisiatif Back to School ini amat bermakna, khususnya kepada murid-murid di kawasan pedalaman yang sentiasa bersemangat untuk belajar walaupun berhadapan pelbagai kekangan geografi dan logistik,” ujarnya ketika berucap pada Majlis PETRONAS Back to School 2025 yang diadakan di SK dan SMK Bario, pada Selasa.
Ujar Datuk Gerawat, program seperti ini bukan sahaja membantu menyediakan kelengkapan persekolahan kepada pelajar yang memerlukan, tetapi turut memupuk semangat keprihatinan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam kalangan syarikat besar terhadap masyarakat luar bandar.
“Usaha sebegini menunjukkan bahawa sektor korporat memainkan peranan penting dalam memastikan pendidikan anak-anak luar bandar tidak terabai.
"Ia juga menyemai nilai kasih sayang dan semangat kebersamaan dalam masyarakat,” jelas beliau.
Sebanyak 269 pelajar di Bario menerima bantuan kelengkapan persekolahan melalui program tersebut hasil kerjasama antara PETRONAS, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Anuar Rapaee, yang turut merasmikan Acara Sukan Gabungan Zon Baram Ulu (ZBU) melibatkan 15 buah sekolah rendah di kawasan tersebut.-EDISI UKAS