DID Sarawak Perkukuh Budaya Integriti, Terima Pensijilan ISO Peringkat Antarabangsa
KUCHING: Penganjuran Hari Integriti bukan sekadar acara simbolik sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh nilai integriti, akauntabiliti dan kecemerlangan dalam perkhidmatan awam, khususnya dalam Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, inisiatif tersebut menjadi manifestasi komitmen bersama penjawat awam dalam memastikan tadbir urus yang telus, berintegriti dan berkesan terus diamalkan.
“Ini bukan sekadar perhimpunan rasmi, tetapi satu manifestasi komitmen bersama terhadap integriti, akauntabiliti dan kecemerlangan dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Integriti Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak 2026 dengan kehadiran kira-kira 200 tetamu terdiri daripada penjawat awam dan wakil agensi berkaitan pada Rabu.
Majlis yang bertemakan “Teguh Integriti, Cemerlang DID Sarawak” itu merupakan antara usaha berterusan dalam menyokong aspirasi kerajaan negeri untuk mencapai status negeri berintegriti tinggi menjelang 2030.
Beliau menambah, pendekatan Discipline in Execution: Approach (DIEA) yang dilaksanakan di bawah inisiatif PCDS 2030 menjadi pemacu penting dalam memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berimpak tinggi kepada rakyat.
Tambah beliau, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan hanya dapat dipertahankan melalui pentadbiran yang bersih, telus dan bebas daripada salah guna kuasa.
“Tadbir urus yang baik bukan sahaja membanteras rasuah, tetapi juga mengelakkan pembaziran sumber dan pecah amanah,” jelasnya.
Pada majlis sama, DID Sarawak turut menerima dua pensijilan antarabangsa iaitu MS ISO 37001:2016 (Anti-Bribery Management System, ABMS) dan MS ISO 9001:2015 (Quality Management System) yang merangkumi keseluruhan operasi jabatan termasuk 12 Pejabat Bahagian.
Pensijilan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International Sdn Bhd kepada Pengarah DID Sarawak, Datu Ir. Ts. Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan disaksikan oleh Datuk Amar Dr. Sim.
Skop pensijilan ABMS meliputi perkhidmatan kejuruteraan, pengurusan projek serta penyelenggaraan pembangunan infrastruktur dan pengurusan sumber air, manakala pensijilan QMS pula merangkumi pengurusan perkhidmatan serta data hidrologi secara menyeluruh.
Pengiktirafan tersebut bukan sekadar pencapaian, malah melambangkan komitmen berterusan DID Sarawak dalam mengamalkan standard tertinggi tadbir urus serta memperkukuh langkah pencegahan awal terhadap risiko rasuah.
Dalam pada itu, Datuk Amar Dr. Sim turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga DID Sarawak atas dedikasi mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Beliau turut menyeru agar nilai integriti terus diperkasakan, termasuk dalam usaha mendidik generasi muda demi menjamin pembangunan mampan negeri.
“Dengan komitmen yang ditunjukkan, saya yakin kepercayaan rakyat akan terus meningkat dan Sarawak mampu mencapai tahap lebih tinggi dalam integriti, tadbir urus dan pembangunan mampan,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil.-EDISI UKAS