Kerjasama Sarawak, DNV Norway Bantu Percepat Pelaksanaan Pembangunan Tenaga Bersih
KUCHING: Kerjasama Sarawak menerusi Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty) dengan DNV Norway akan membantu mempercepatkan lagi pelaksanaan pembangunan tenaga bersih negeri ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, Sarawak yang sedang melangkah ke fasa pelaksanaan dalam pembangunan tenaga baharu memerlukan kepakaran badan berkenaan yang berperanan sebagai badan verifikasi global dalam memastikan piawaian dan kualiti projek tenaga hijau Sarawak menepati standard antarabangsa.
Ini katanya amat penting memandangkan Sarawak bukan sahaja membekalkan tenaga dalam negeri semata-mata tetapi turut meluaskan pasaran tenaga kepada negara dan negeri jiran, termasuk perancangan jangka panjang melibatkan negara di kawasan Asia Pasifik.
“Dari segi kedudukan geografi di rantau Asia Pasifik, Sarawak terletak strategik di tengah-tengah, berbanding Australia yang lebih jauh dan melibatkan kos yang lebih tinggi.
“Justeru, kerajaan negeri sedang merangka satu pelan baharu bagi memperkukuh serta melonjakkan lagi pembangunan industri tenaga hijau di rantau ini, merangkumi pasaran utama seperti China, Jepun, Korea dan negara-negara lain dan ini merupakan peluang besar untuk Sarawak,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Serantau Sistem Tenaga Asia Pasifik bagi Hidrogen dan CCUS DNV, Dr Thomas Koller, di pejabat beliau, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Dr Hazland menegaskan, landskap tenaga dunia kini sedang berubah dengan pantas, khususnya susulan ketidaktentuan geopolitik global termasuk konflik di Timur Tengah, yang mendorong negara-negara dunia mengurangkan kebergantungan terhadap minyak dan gas.
Dalam konteks itu, Sarawak berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan peluang berkenaan.
“Dengan sumber semula jadi yang melimpah seperti tenaga hidro dan solar, Sarawak mampu menghasilkan tenaga hijau pada kos yang lebih rendah berbanding negara lain, sekali gus menjadikan negeri ini sebagai ‘bateri Asia’,” jelasnya.
Malah jelasnya, Sarawak telah memulakan persiapan awal sejak empat hingga lima tahun lalu meliputi pembangunan infrastruktur, rangka kerja perundangan serta latihan sumber manusia bagi menyokong ekosistem tenaga hijau. -EDISI UKAS