KPWK Sokong Fokus PDRM Tangani Isu Dadah Dan Substans Di Sarawak
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) menyambut baik komitmen tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak dalam memberi tumpuan terhadap usaha membanteras penyalahgunaan dadah dan substans di negeri ini.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, fokus tersebut selaras dengan salah satu daripada 13 isu sosial utama yang menjadi keutamaan KPWK, iaitu menangani penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.
“Kami sangat gembira apabila Pesuruhjaya Polis Sarawak memberi penekanan tinggi terhadap isu dadah dan substans di Sarawak.
"Ini merupakan antara fokus utama Kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah di sini, pada Selasa.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Mohamad Zainal atas pelantikan beliau sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak dan menyifatkan langkah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada Ketua Polis Daerah sebagai satu pendekatan proaktif dalam memastikan keberkesanan penguatkuasaan di peringkat akar umbi.
“Saya tahu Datuk telah meletakkan KPI kepada Ketua Polis hingga ke peringkat daerah bagi memastikan tangkapan terhadap individu yang terlibat dalam penyalahgunaan atau pengedaran dadah terus dilaksanakan dengan tegas,” jelasnya.
Menurut Dato Sri Fatimah, KPWK menghargai hubungan erat dan kerjasama strategik bersama PDRM yang bukan sahaja tertumpu kepada isu dadah, tetapi juga merangkumi pelbagai aspek sosial lain termasuk keganasan rumah tangga, kehamilan remaja, serta penderaan wanita dan kanak-kanak.
“Kami berharap hubungan baik yang terjalin antara Kementerian dan PDRM akan terus diperkukuh di bawah kepimpinan baharu bagi memastikan kesejahteraan komuniti Sarawak terus terpelihara,” ujarnya.
Turut hadir bersama ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap KPWK, Datu Felicia Tan Ya Hua serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS