BINTANGOR: Usaha mempromosikan gaya hidup sihat dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat diteruskan menerusi penganjuran Persatuan Kung Siong Bintangor Charity Night Run 2025 yang berlangsung meriah di Dewan Masyarakat Bintangor baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata penganjuran program tersebut bukan sahaja menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif, malah membina semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap komuniti setempat.
“Larian amal ini bukan sekadar acara sukan, tetapi satu wadah untuk memupuk semangat perpaduan dan budaya sihat dalam kalangan masyarakat.
“Setiap langkah malam ini melambangkan kasih sayang dan kepedulian kita terhadap sesama masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Program yang bermula pada jam 6 petang itu disertai ratusan peserta daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang bagi menyahut seruan mengamalkan kehidupan aktif serta menjaga kesihatan fizikal dan mental.
Penganjuran larian amal itu turut mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat tempatan yang hadir bukan sahaja untuk beriadah tetapi juga bagi menyokong usaha murni membantu dua institusi pendidikan di daerah Bintangor dan sekitarnya.
Sebahagian daripada hasil kutipan larian akan disalurkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kai Chung bagi menampung kos pelaksanaan aktiviti pelajar.
Larian amal itu juga turut dibahagikan kepada empat kategori utama iaitu Lelaki Terbuka (18 tahun ke atas), Wanita Terbuka (18 tahun ke atas), Lelaki 18 tahun ke bawah dan Wanita 18 tahun ke bawah.
Penyertaan terbuka kepada seluruh rakyat Sarawak itu berjaya menarik minat peserta dari pelbagai kawasan yang hadir dengan semangat tinggi untuk berlari bersama bagi tujuan kebajikan.
Datuk Ding turut menzahirkan penghargaan kepada semua peserta dan sukarelawan yang menjayakan penganjuran tersebut, sekali gus menzahirkan semangat kesukarelawanan dan perpaduan dalam komuniti.
Charity Night Run 2025 menjadi simbol kepada usaha bersama masyarakat Bintangor untuk berlari bukan sahaja demi kesihatan, tetapi juga demi kegembiraan dan kasih sayang sesama insan.-EDISI UKAS