Pelbagai Projek Naik Taraf di Repok, Tingkat Kemudahan dan Kesejahteraan Penduduk
SARIKEI: Beberapa lagi projek baharu kini giat dilaksanakan di kawasan Repok, sekaligus membuktikan kesungguhan kerajaan menyediakan prasarana terbaik yang diperlukan penduduk di kawasan itu.
Antara projek utama yang dilaksanakan adalah membaik pulih rumah panjang, menaik taraf sistem peparitan, dan pembinaan dewan ping pong yang dijangka memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, kesemua projek itu bertujuan meningkatkan taraf hidup peduduk, selain memperbaiki kemudahan asas yang dapat memberi keselesaan dan manfaat jangka panjang.
“Saya berharap dengan kerjasama semua pihak, semua projek ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
“Pada masa yang sama, saya juga menggesa pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Sehubungan itu, beberapa siri lawatan turut diadakan oleh petugas Pusat Khidmat DUN Repok bersama agensi berkaitan bagi memastikan memastikan projek mengikut spesifikasi dan memenuhi keperluan penduduk.
Antaranya, meninjau keadaan sistem peparitan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei bertujuan mengurangkan masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan sekolah.
Selain itu, lawatan tapak turut dilakukan bagi menilai cadangan pembinaan Dewan Ping Pong di sekolah berkenaan.
Dewan ini akan memberi ruang untuk aktiviti sukan dan rekreasi, bukan sahaja untuk warga sekolah tetapi juga masyarakat sekitar kawasan berkenaan.-EDISI UKAS