KUCHING: Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) melakar sejarah apabila melancarkan AI Unmanned Mart pertama di Malaysia, yang beroperasi sepenuhnya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan 'computer vision' bagi menawarkan pengalaman membeli-belah 'scan, shop and go'.
Pengerusi SDEC, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, pelaksanaan AI Unmanned Mart ini merupakan satu pencapaian penting dalam merealisasikan aspirasi di bawah Post Covid Development Strategy 2030 (PCDS2030) and Sarawak Digital Economy Blueprint 2030, sekali gus memperkukuh hasrat kerajaan negeri untuk menuju ke arah ekonomi tanpa tunai dan berasaskan data menjelang tahun 2030.
“Seperti yang saya katakan, ini berdasarkan teknologi AI dan IoT kami. Ia akan beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, 30 hari sebulan dan 365 hari setahun,” katanya ketika merasmikan AI Unmanned Mart di Baitulmakmur II, Petra Jaya, pada Selasa.
Tambah beliau, usaha ini membuktikan bagaimana elemen ekonomi digital semakin diterapkan dalam kehidupan seharian rakyat.
“Semua ini adalah sebahagian daripada ekonomi digital. Hari ini, kita memperkenalkan E-Mart Smart ‘Tap & Go Mart’ sebagai satu lagi inisiatif ke arah ekonomi digital yang lebih inklusif,” ujarnya.
Dikuasakan oleh teknologi termaju SDEC dan dikendalikan oleh Akayan Solutions Sdn. Bhd, pasar tanpa juruwang itu menawarkan pengalaman membeli-belah autonomi sepenuhnya selama 24 jam.
Melalui sistem kamera AI, sensor rak pintar dan algoritma pembelajaran mesin, pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR menggunakan aplikasi SBOX AI untuk masuk, memilih barangan dan keluar tanpa perlu beratur di kaunter pembayaran.
Bayaran akan diproses secara automatik melalui SBOX AI Wallet, menjadikan pengalaman membeli-belah lebih pantas, mudah dan tanpa sentuhan tunai.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman berkata, pelancaran ini menandakan bab baharu dalam perjalanan Sarawak ke arah kehidupan bandar pintar.
“Ia menunjukkan bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan secara bermakna untuk memudahkan urusan harian rakyat sambil menyokong matlamat jangka panjang kita bagi membina masa depan yang digital dan mampan,” ujarnya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini