Kerjasama Strategik Negeri & PDRM Perkukuh Usaha Basmi Dadah Di Sarawak
KUCHING: Kerjasama strategik antara Kerajaan Sarawak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus diperkukuh dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, sejak memulakan tugasnya di Sarawak, beliau memberi fokus utama kepada usaha memerangi penyalahgunaan dadah yang dianggap musuh nombor satu negara.
“Moto saya ialah tiada hari tanpa tangkapan bagi kes-kes dadah.
"Kita mahu masyarakat tahu bahawa jenayah ini tidak boleh dikompromi, sama ada pengedar, pembekal, pemilik mahupun pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur II, Kuching, pada Selasa.
Menurut beliau, kerjasama erat antara PDRM dan agensi kerajaan negeri membolehkan usaha membanteras dadah dijalankan dengan lebih efektif, termasuk melalui bantuan logistik dan sokongan operasi daripada kerajaan negeri.
Datuk Mohamad Zainal turut mendedahkan pendekatan baharu yang bakal dilaksanakan PDRM Sarawak dengan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap sindiket pengedaran dadah.
“Ramai tidak tahu SOSMA bukan hanya untuk keganasan.
"Ia juga boleh digunakan terhadap jenayah terancang seperti pengedaran dadah."
"Tindakan ini akan menyebabkan suspek tidak boleh dijamin sehingga rayuan selesai, sekali gus melumpuhkan rangkaian sindiket,” ujarnya.
Beliau berkata, langkah itu sedang diperhalusi dan akan digerakkan sebaik sahaja maklumat dan keterangan lengkap diperoleh.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak atas sumbangan Instant Visual Drug Detector System (IVDDS) dan kenderaan operasi yang membantu mempercepat proses saringan awal semasa operasi di lapangan.
“Peralatan IVDDS ini hanya digunakan di Sarawak dan ia sangat membantu meningkatkan ketepatan serta kecekapan anggota di lapangan,” katanya.
Beliau menambah, usaha membanteras dadah bukan sahaja mengekang aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang, malah turut menurunkan kadar jenayah lain seperti kecurian dan keganasan rumah tangga yang berpunca daripada penagihan dadah.
“Jenayah dadah ini adalah 'highway' kepada jenayah lain.
"Bila kita perangi dadah, kita juga boleh kurangkan jenayah lain,” tegasnya.
Hadir sama ialah, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap KPWK, Datu Felicia Tan Ya Hua serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS