MLNG Salur Bantuan Kepada Mangsa Kebakaran Rumah Panjang Sungai Semanok
BINTULU: Kumpulan Syarikat Malaysia LNG (MLNG), anak syarikat PETRONAS menyalurkan bantuan keperluan asas kepada 20 ketua isi rumah (KIR) mangsa kebakaran Rumah James Kalip, Sungai Semanok, Jalan Pesisir Jepak–Kuala Tatau pada Selasa.
Penyerahan sumbangan tersebut disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee bersama Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong Bujang @ Endawie, selain wakil daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Bantuan yang disampaikan termasuk peralatan memasak, dapur, tong gas, makanan kering, minuman mineral dan air kotak bagi menyokong keperluan segera 104 mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran pada Isnin lalu.
Dalam pada itu, Iskandar menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai cerminan keprihatinan pihak industri dan agensi berkaitan terhadap komuniti yang terjejas.
“Sumbangan ini mungkin nampak sederhana, namun ia sangat bermakna kepada keluarga yang sedang berusaha bangkit semula selepas kehilangan tempat berteduh,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak MLNG serta semua agensi yang terlibat dalam menjayakan bantuan tersebut.
“Semoga semangat ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ ini terus menjadi budaya kita."
"Kita jaga komuniti kita kerana kebersamaan inilah yang menjadikan Bintulu terus kuat dan bersatu,” tambahnya.
Turut hadir ialah Pengurus Besar MLNG, Khairul Ariffin Idris, Pengurus PETRONAS, Araffie Igat, serta Tuai Rumah James Kalip.-EDISI UKAS